Tugas dakwah
penting dilakukan sepanjang masa memandangkan manusia tidak terlepas daripada
melakukan kesalahan dan dosa. Sesuatu dakwah mungkin perlu dilakukan
berulang-ulang kali kepada orang yang sama.
Sifat manusia
mudah lupa dan tergoda melakukan perbuatan yang mendatangkan keseronakan,
tetapi itulah yang mendatangkan keburukan kepada diri dan orang lain. Jadi,
tugas dakwah tidak hanya terhenti apabila telah menyatakan sekali kepada
sasaran yang didakwah itu.
Sebab itu juga,
kita memerlukan lebih banyak orang yang bersedia menjadi pendakwah dan bukannya
yang perlu didakwah. Amalan nasihat dan menasihat perlu dijadikan amalan dalam
kehidupan masyarakat untuk mengelak kerugian.
Firman Allah SWT bermaksud: “Demi masa.
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang
beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati
kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapkan kesabaran” (Surah al-Ashr
103: 1-3).
Kita memang perlu
mengambil berat tentang apa yang berlaku di sekitar kita kerana ia secara tidak
langsung memberi kesan kepada kita juga. Ini bukan soal menjaga tepi kain atau
menjadi kaki sibuk, tetapi satu keperluan untuk kebaikan semua.
Yang menjadi
pendakwah mesti melakukan secara jujur atas niat mebuat kebaikan, bukan sekadar
ingin mencari kesalahan orang lain. Manakala yang didakwah pula hendaklah
menerimanya dengan hati dan fikiran yang terbuka.
Setiap orang
perlu menerima teguran dengan seadanya. Jika benar telah lakukan kesalahan,
perbetulkan segera dan berterima kasihlah kepada mereka yang menegur itu.
Sebaliknya, jika
apa yang dicuba diperbetulkan itu sebenarnya tidak ada apa yang harus
diperbetulkan kerana ia sememangnya telah baik atau tidak mendatangkan
keburukan, anggaplah ia salah faham.
No comments:
Post a Comment