Saturday 27 July 2019

FERI KAMPUNG PASIR KELANG


Ramai tidak menduga bahawa feri membawa penumpang dan kenderaan ini beroperasi di Kelantan. Feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad itu mampu membawa sebanyak enam kereta, 20 motosikal dan penumpang pada satu-satu masa, mula beroperasi pada 2013 dengan kos RM370,000.

Perkhidmatan feri ini dimanfaatkan oleh kira-kira 15,000 orang penduduk yang tinggal di seberang Sungai Kelantan, melibatkan enam kampung iaitu Kampung Pasir Kelang, Kampung Pasir Kelang Baru, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia.

Biarpun berada di seberang Sungai Kelantan, keenam-enam kampung tersebut berada di bawah pentadbiran Jajahan (daerah) Kuala Krai. Ini bermakna segala urusan yang melibatkan pihak kerajaan sama ada pusat mahupun negeri, perlu melalui pejabat yang berada di Kuala Krai.

Sebelum ada perkhidmatan feri, penduduk menggunakan bot enjin galah untuk menyeberangi Sungai Kelantan yang hanya boleh membawa penumpang dan motosikal.

Manakala kenderaan lain seperti lori dan kereta terpaksa melalui Kampung Sokor di Tanah Merah yang mengambil masa lebih empat jam bagi penduduk Kampung Bahagia pergi ke Kuala Krai menggunakan kenderan pacuan empat roda. Sebaliknya, dengan adanya perkhidmatan feri, masa yang diambil hanya kira-kira dua jam.

Perkhidmatan feri ini beroperasi setiap hari dan mengambil masa kurang lima minit perjalanan untuk menyeberangi Sungai Kelantan dengan lebar lebih kurang 250 meter.

No comments:

Post a Comment