Tuesday 9 July 2019

KUTU BENA PUTIH SERANG POKOK BERBATANG LEMBUT

Bena putih atau dikenali juga sebagai kutu daun, lalat putih dan kutu putih adalah musuh utama tumbuhan berbatang lembut. Serangga ini membiak dengan begitu cepat sekali.  

Setiap bena betina boleh menghasilkan 5-100 anak bena. Anak-anak bena ini akan matang dan boleh membiak dalam masa 7-10 hari.

Bena putih hidup dengan menghisap cairan dari batang tumbuhan, daun, bunga dan putik yang lembut. Pokok kehilangan banyak air dan zat pemakanan akibatnya. Pokok akan menjadi layu, keriput atau tumbesaran terbantut dan seterusnya mati.  

Biasanya kutu daun ini akan berada dalam koloni dan berkumpul di tempat yang selalunya terlepas dari pandangan kita seperti belakang daun dan di celah-celah ranting.

Jika seranga hebat dan tidak dikawal, hampir seluruh pokok akan diliputi atau ditutupi oleh kutu daun. Pokok akan kelihatan putih seperti disembur dengan bedak atau debu putih.

Jika serangan awal atau tidak merebak, kita boleh potong atau buang bahagian yang kena serangan. Masalahnya jika berlaku di bahagian pucuk yang jika dibuat akan menyebabkan tumbesaran terbantutu.

Ada pelbagai racun di pasaran untuk membunuh kutu daun ini. Namun racun serangga ini tidak selamat digunakan ke atas tumbuhan yang boleh dimakan, terutama yang sudah hampir untuk dituai.

Selalunya kita perlu menunggu lebih dari 10 hari sebelum mengambil tumbuhan untuk dimakan selepas dirembur dengan racun serangga.

Justeru, adalah lebih selamat jika kita menggunakan kaedah kawalan biologi ataupun menggunakan bahan semulajadi untuk memerangi serangga ini.

Keadah yang boleh digunakan ialah dengan menggunakan campuran pencuci pakaian dan minyak masak. Air cucian pakaian dari mesin basuh boleh digunakan untuk tujuan ini.

Masukkan air ini kedalam botol penyembur dan titiskan beberapa titis minyak. Semburkan air ini pada tumbuhan yang dijangkiti dengan memastikan bahagian yang tersembunyi seperti di belakang daun dan celah ranting juga terkena semburan.

Anda akan dapati bena akan berkurangan dan terhapus sama sekali setelah diulang beberapa kali.

Satu cara lagi ialah dengan menggunakan bawang putih dan bawang merah. Beberapa ulas bawang putih dan bawang merah dikisar hingga lumat dan dicampur air.

Air ini ditapis dan dimasukkan ke dalam botol penyembur dan disembur dengan kaedah yang sama seperti di atas.

Beberapa jenis minyak seperti minyak neem, minyak bawang putih, minyak canola, minyak bijan dan minyak soya juga boleh digunakan untuk tujuan ini.

Kaedah kawalan biologi juga boleh digunakan untuk menghapuskan serangga ini. Jika terdapat mentadak dalam taman anda biarkan ia di situ kerana bena putih ini boleh menjadi santapan yang lazat bagi mentadak.

Ladybird (Hippodamia convergens), sejenis kumbang berwarna merah dengan bintik-bintik hitam merupakan serangga yang paling berkesan digunakan sebagai kawalan biologi terhadap bena. Selain dari menjadi penghias taman, kumbang ini juga akan menolong menghapuskan bena putih.

No comments:

Post a Comment