Saturday 27 July 2019

HARAP JAMBATAN PASIR KELANG SEGERA DIBINA

Penduduk di enam buah kampung di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang terletak di seberang tebing sebelah barat Sungai Kelantan di jajahan Kuala Krai berharap agar rancangan pembinaan jambatan bernilai RM55 juta yang diluluskan oleh kerajaan Pusat pada akhir tahun 2017 dapat disegerakan.

Enam kampung berkenaan iaitu Kampung Pasir Kelang, Kampung Pasir Kelang Baru, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia.

Buat masa sekarang penduduk dari kampung-kampung berkenaan menggunakan khidmat feri dari Pengkala Feri Pasir Kelang ke seberang sungai selebar 250 meter menuju Pengkalan Feri Kampung Pasir Era.

Feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad itu mampu membawa sebanyak enam kereta, 20 motosikal dan penumpang pada satu-satu masa.

Jika tiada pengkhidmatan feri, penduduk yang menggunakan kenderaan terpaksa mengambil jalan jauh melalui Kampung Sokor, seterusnya ke Tanah Merah sebelum melalui jajahan Machang sebelum sampai ke bandar Kuala Krai yang memakan masa tiga hingga empat jam.

Diharapkan peluang penduduk dari keenam-enam kampung berkenaan untuk mendapat kemudahan yang sepatutnya akan tercapai dalam tempoh masa terdekat.

No comments:

Post a Comment