Tuesday 23 July 2019

KAPIT TAYAR KENDERAAN MENYALAHI UNDANG-UNDANG

Isu tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengunci atau mengapit tayar kenderaan telah berlarutan. Beberapa tahun lalu, MPKB-BRI telah diperintahkan oleh mahkamah membayar sejumlah gantirugi kepada pemilik kenderaan yang tayar keretanya telah dikunci.

Manakala seorang peguam pada 21 Febuari 2019 memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menerusi Tetuan Yeap dan Ang terhadap MPKB-BRI susulan tindakan pihak berkuasa tempatan itu mengunci tayar keretanya.

Plaintif berpendapat bahawa pihak MPKB-BRI tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengunci tayar kereta terhadap kesalahan meletak kereta di luar petak sedangkan kompaun boleh dikeluarkan.

Polimik kunci tayar ini semakin mendapat perhatian apabila MPKB-BRI telah menyerahkan sepenuhnya pengurusan sistem letak kereta di bandar ini kepada sebuah syarikat swasta yang pekerja syarikat tersebut bertindak tegas dan didakwa tidak boleh bertolak ansur dalam menjalankan tindakan mengapit tayar.  

Isu menjadi lebih menarik apabila tindakan mengunci atau mengapit tayar kenderaan itu didakawa menyalahi bidang kuasa atau undang-undang yang berkaitan.

MPKB-BRI kena tengok semula dengan teliti peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kita meragui apa yang mereka buat selama ini iaitu mengunci tayar kenderaan pemilik yang tidak membayar caj atau mempunyai saman tertunggak sebenarnya melangkaui kuasa yang ada.

Seorang peguam, Majdah Muhamad mendakwa MPKB-BRI tidak berhak untuk mengunci tayar kenderaan sama ada di dalam atau luar kotak disediakan walaupun pemiliknya tidak membayar caj dikenakan atau mempunyai saman tertunggak.

Majdah dilaporkan berkata, dari segi perundangan, kriteria untuk mengunci tayar kenderaan perlu dirujuk pada Akta Pengangkutan Jalan 1987 Seksyen 48, 64, 65 dan 66(1) (rr) di mana ia hendaklah dibaca bersama-sama dengan kaedah-kaedah pengangkutan jalan (fi bagi pengapitan, pengalihan dan penahanan kenderaan motor) 2012.

Beliau berkata, hanya dalam tiga keadaan boleh dikunci tayar iaitu gangguan kepada laluam trafik, kuasa untuk sita kereta dan kenderaan ditinggalkan begitu sahaja.

Seharusnya MPKB-BRI  dan syarikat berkenaan mengkaji kembali aspek perundangan agar tindakan mereka tidak dipertikaikan oleh rakyat.

No comments:

Post a Comment