Friday, 16 August 2019

SAIE MANIFESTASI PENGORBANAN HAJAR


Perkataan ‘berkorban’ atau ‘pengorbanan’ amat mudah untuk dituturkan, namun adakah terlalu mudah untuk kita lakukan? Aidil Adha mengajar kita erti pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Di sebalik kita menghayati kisah pengorbanan mereka berdua, insan ketiga Siti Hajar isteri kepada Nabi Ibrahim turut berkorban melaksanakan peranan sebagai isteri dan ibu kepada Nabi Ismail.

Mereka ditinggalkan di padang pasir, tiada sumber air atau makanan, yang ada hanyalah tanah tandus.

Setelah kehabisan bekalan air, dek rasa kasih seorang ibu, Siti Hajar berlari-lari dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak tujuh kali pusingan yang jaraknya sekitar 450 meter untuk mencari air dan meminta bantuan.

Syeikh Syarawi di dalam tafsirnya menyebut: Bukit Safa dan Bukit Marwah mengingatkan nostalgia bagaimana Siti Hajar iaitu ibu Ismail berulang alik antara kedua-duanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan Nabi Ibrahim di sisi Baitullah al-Haram.

Inilah hikmah peristiwa turunnya perintah Saie berjalan dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Bukit al-Safa dan al-Marwa itu adalah dari syiar-syiar Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakan haji atau mengerjakan umrah, maka tiada apa-apa kesalahan baginya untuk berkeliling pada kedua-duanya dan sesiapa yang mengerjakan dengan sukarela amalan yang baik, maka sesungguhnya Allah berterima kasih dan Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 158)

Ibadah Saie menjadi sebagai salah satu rukun menunaikan haji dan umrah bagi menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh Siti Hajar.

Begitu besar penghargaan yang diberikan Allah SWT kepada hambaNya yang patuh dan berkorban dalam melaksanakan perintahNya.

No comments:

Post a Comment