Friday, 16 August 2019

TIDAK KENANG JASA ANGGOTA TENTERA

Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna dan dikhianati melalui kenyataan bersifat bongkak serta biadab, apatah lagi terhadap tentera yang menjaga keselamatan negara.

Apakah ada asas yang konkrit menunjukkan anggota pasukan keselamatan negara hanya 'makan dan tidur' sahaja atau kenyataan tersebut tidak lebih sekadar membina persepsi negatif terhadap anggota keselamatan negara yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera?

Anggota tentera 'tidak kering bulu' bersilih ganti menjaga keselamatan negara dari sebarang bentuk ancaman sama ada di darat, laut mahupun udara.

Pengorbanan angkatan pertahanan dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara selayaknya mendapat penghargaan bukannya cemuhan dan diperlekehkan.

Menjaga keselamtan negara bukan tugas bermusim atau apabila wujud ancaman secara nyata. Sepanjang masa anggota tentera perlu bersiap sedia dengan segala kelengkapan dan kepakaran yang ada.

Hanya mereka yang bodoh sombong akan mengandaikan anggota tentera hanya makan dan tidur. Tiada istilah hari cuti untuk perkhidmatan dalam angkatan tentera. Anggota tentera bersiap sedia sebilang masa.

Ancaman keselamatan negara wujud dan berada di mana-mana. Namun, ancaman itu tidak dizahirkan secara terang kerana adanya anggota tentera.

Kumpulan ini akan melakukan sesuatu tindakan jika ada ruang dan peluang untuk melakukannya. Kes rampasan senjata di Gerik di Perak pada 2 Julai 2000 oleh kumpulan militan Al-Maunah dan pencerobohan pengganas Sulu dan serangan di Lahad Datu pada 11 Februari 2013 bukti pentingnya anggota tentera perlu sentiasa siapsiaga sepanjang masa.

Sekiranya saiz anggota tentera dikecilkan dan peruntukan kewangan dikurangkan, akan lebih banyak ancaman dilakukan oleh kumpulan pengganas.

Justeru, sikap memperkecilkan peranan anggota tentera sebenarnya perbuatan biadap dan tidak mengenang budi pengorbanan anggota tentera selama ini. 

No comments:

Post a Comment