Friday 21 October 2016

Fahaman golongan anti hadis

Fahaman anti hadis satu gerakan dilakukan orentalis untuk meletakkan kedudukan Nabi Muhammad SAW pada sisi tidak baik. Mereka menggelarkan Nabi Muhammad sebagai gila seks, tamak kuasa, bengis dan perbuatan baik lain.

Serangan pemikiran ini sebenarnya secara tidak langsung ditujukan kepada umat Islam. Mereka ingin mengajak umat Islam agar tidak menghormati ajaran Rasulullah SAW dan sekaligus meninggalakan amalan baik yang diajarkan oleh Baginda.

Sesungguhnya, kekuatan umat Islam ialah apabila mengamalkan ajaran Islam yang terkandung di dalam Al-Quran dan Al-Sunah yang dilakukan Rasulullah SAW. 

Apabila umat Islam meninggalkan sunah, maka sebenarnya mereka telah meninggalakan sebahagian ajaran Islam. Bahkan, dalam sudut akidah, sesiapa yang menolak sunah sebenarnya telah menolak Islam. 

Gerakan menyerang keperibadian Rasulullah SAW ini juga antara bibit-bibit yang menjadi aliran pemikiran menolak hadis. Golongan ini melihat hadis sebagai tidak perlu diikuti sebagai sumber hukum. 

Fahaman inilah jelas dipegang oleh Kasim Ahmad yang digelar pelopor antihadis di Malaysia seperti mana ungkapan beliau di  di dewan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 16 Febuari 2014 sempena Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Halatuju Negara Malaya Untuk Tiga Puluh Tahun Akan Datang.

Kata Kasim: “Siapakah yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang sama seperti Quran dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafie. Beliaulah yang bertanggungjawab membuat doktrin baru menyatakan hadis satu sumber hukum sama seperti Quran. Sebelum beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, tetapi bilangannya sedikit sekali dan tidak diwajibkan diikut oleh umat Islam." 

"Sejarah mencatat khalifah-khalifah Abu Bakar, Omar Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Thalib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Nabi."

"Catatan-catatan ini tidak banyak dan hanya menjadi ikutan, jika sesuai, tetapi tidak diwajibkan. Setelah doktrin baru oleh Imam Shafie ini diterima oleh masyarakat Islam, timbullah pengumpul-pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (m. 870), Imam Muslim (m. 875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga akhirnya tinggal 7,275  hadis yang beliau isytiharkan sebagai hadis sahih.”

Jelas sekali, ungkapan dari Kasim Ahmad itu tidak mengiktiraf Rasulullah SAW sebagai autoriti yang menentukan sesuatu hukum Islam. 

No comments:

Post a Comment