Thursday 20 October 2016

Cara tegur pemimpin

Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa, termasuk pemerintah atau pemimpin negara. Islam telah menggariskan panduan bagaimana cara menegur pemerintah yang telah melakukan kesilapan dalam soal kepimpinannya.     

Menurut Imam Ghazali, dua peringkat pencegahan keburukan digunakan terhadap pemerintah ialah pertamanya memberitahu (takrif) dan keduanya menasihat dengan kata-kata yang lembut. 

Dalam sistem negara demokrasi, terdapat banyak saluran untuk memberitahu dan menasihati pemerintah. Saluran rasmi yang digunakan pakai di Malaysia ialah di sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Wakil Rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya diamanahkan untuk menyuarakan pandangan dan kehendak rakyat dari kawasan yang diwakilinya. 
 

Selain itu aduan dan pandangan juga boleh disalurkan melalui kementerian, jabatan atau agensi yang berkaitan. Peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuh oleh setiap rakyat untuk mendapat hak dan bersama-sama menyumbang kebaikan untuk negara. 

Perbuatan menegur pemerintah secara membentuk kumpulan militan, berdemostrasi atau parti yang mengamalkan propaganda membabi buta tidak menepati kehendak syariat. Syariat Islam meletakkan pemerintah pada kedudukan tinggi yang perlu ditaati dan hormati.  

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin menasihati pihak berkuasa mengenai sesuatu perkara, maka janganlah dia menyampaikan secara terang-terangan, tetapi hendaklah dia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian.  Sekiranya nasihat itu diterima maka itulah yang terbaik, tetapi sekiranya tidak diterima, maka dia (pemberi nasihat) dikira telah melaksanakan tanggungjawabnya.”(Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Setiap arahan dan dasar pemerintah mesti dipatuhi sama ada disukai atau tidak. Ini bagi memastikan kekuatan dan sumber yang ada ditumpukan pada satu matlamat. Perpecahan dan penentangan akan menjadikan sistem pemerintahan kucar kacir dan tidak berfungsi dengan baik.  

Memang pemimpin tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan. Bagaimanapun, itu bukan alasan melemparkan tuduhan bukan-bukan atau menjatuhkan hukum yang mana hanya milik Allah. 

Rakyat yang baik sentiasa mempertahankan kedudukan pemerintah dan memberi penuh kepercayaan untuk terus memimpin ke arah kebaikan.  

Perkara ini dijelaskan hadis riwayat Bukhari bermaksud: “Wajib ke atas setiap muslim patuh dan taat kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selama mana dia tidak diperintah melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat.” 

No comments:

Post a Comment