Sunday 15 January 2017

Ikut syariat konsep esakan Allah

Hubungan syariah dengan konsep mengesakan Allah. Islam dibina atas asas akidah yang benar kepada Allah, serta pengabdian diri kepada-Nya. Hakikat ini bertepatan dengan tujuan penciptaan manusia.   

Firman Allah dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepda-Ku."

Oleh itu, perlaksanaan syariat Islam adalah sebahagian daripada asas keimanan dan tuntutan tauhid. Justeru setiap perbuatan manusia diberikan pembalasan baik dan buruk, sesuai dengan tahap-tahap pembalasan yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis. 
           
Keimanan kepada Allah adalah asas utama akidah Islam. Percaya adanya Allah dan kekuasan-Nya menjadi teras untuk manusia mengikuti syariah agama. Mana mungkin seseorang itu mematuhi sesuatu peraturan yang ditetapkan, sedangkan dia tidak mengenali dan tahu yang berkuasa menetapkan peraturan itu.

Sesungguhnya, bagi manusia berfikiran waras tidak sukar untuk menerima kewujudan dan kekuasan Allah. Perhatikan alam semesta itu yang cukup kompleks penciptaannya. Semua ini tentu dicipta oleh Maha Berkuasa, termasuklah mencipta manusia. 

Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 10 bermaksud: "Patukkah berlaku sebarang syak tentang wujudnya Allah, Tuhan yang mencipta langit dan bumi."

Bumi dan seluruh isinya telah berusia berjuta-juta tahun. Namun, sistem peredaran dan aktiviti alam berjalan dengan teratur. Hal ini membuktikan ia hanya ditadbir dan diuruskan oleh satu kuasa tanpa berkongsi. Tiada pihak lain perlu diambil pandangan atau bantuan untuk menguruskan perjalanan dunia ini.

Perkara ini dijelaskan melalui firman yang bermaksud: "Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah yang menegaskan: Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy dari apa yang mereka sifatkan," - (Surah al-Anbia, ayat 22)

Berdasarkan dalil al-Quran, hadis dan akal lojik, tiada syak lagi di sebalik penciptaan alam semesta ini adanya Maha Pencipta iaitu Allah. Sebagai penguasa, Allah berhak menentukan apa yang perlu dilakukan oleh hamba-Nya. Satu-satunya syariat yang diterima di sisi Allah adalah Islam. Sesiapa yang memilih selain Islam sebagai cara hidup, maka dia ingkar pada perintah Maha Berkuasa.

Pengakuan mengesakan Allah dilaksanakan melalui konsep keimanan dan konsep ketaatan.  

Konsep keimanan kepada Allah.

Pengertian iman menurut istilah syarak ialah 'pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan anggota. Keimanan itu diasaskan atas keyakinan yang kukuh terhadap enam rukun iman iaitu beriman kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan beriman kepada qadak dan qadar.

Semua rukun iman itu mesti diyakini dengan teguh dalam erti kata yang sebenar. Kita tidak boleh menerima separuh-separuh saja dan membuang yang lain. Jika kita tidak mempercayai mana-mana Rukun Iman, bermakna keimanan kepada Allah tidak sempurna.  

Contohnya, ada orang hanya percaya kepada Allah, tetapi tidak percaya kepada kitab. Hal itu berlaku disebabkan mereka tidak faham sepenuhnya mengenai gagasan rukun Iman yang perlu dirangkumi kesemuanya.

Banyak orang mengaku beriman, tetapi dari segi tingkahlakunya tidak melambangkan seperti apa yang diucapkannya. Keadaan ini terjadi disebabkan tahap keimanan yang belum kuat sepenuhnya. 

Apa yang dilakukan oleh manusia sepenuhnya terpulang baik dan buruknya terdiri sendiri. Allah tidak mendapat apa-apa keuntungan atau kerugian atas apa yang dilakukan oleh manusia. Ini kerana Allah tidak memerlukan apa-apa pertolongan daripada manusia. Sebaliknya, manusialah yang memerlukan pertolongan Allah. 

Firman Allah bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka kebaikan akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan, bahaya akan menimpa dirinya sendiri. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya." (Surah Fussilat, ayat 46)

Konsep ketaatan kepada Allah.

Konsep iman tidak hanya di mulut. Sebaliknya untuk menyempurnakannya  memerlukan kepada perlaksanaan apa yang ditetapkan oleh syariat. Orang beriman mempunyai akidah yang kukuh pasti mentaati segala perintah Allah dengan ikhlas dan sebaik mungkin. 

Tidak dinafikan bahawa manusia tidak sunyi daripada melakukan perkara dosa. Ini tidak pula manusia tidak berpeluang menubus kembali kesilapan itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang memberi peluang untuk sesiapa yang sedar kesilapan yang telah dilakukan agar bertaubat. 

Taubat ialah penyesalan yang sungguh-sungguh dan bertekad tidak mengulangi dosa tersebut. Mereka yang bertaubat menyatakan ikrar akan taat kepada perintah Allah.

Sebaliknya, mereka yang terus hanya melakukan dosa menyebabkan hidup semakin jauh dari rahmat Allah. Pelaku dosa tidak patut menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Allah di akhirat nanti, biarpun mungkin mereka terlepas pembalasan di dunia ini.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut, ayat 4 bermaksud: "Bahkan patutkan orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Kami?  Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu."

Sangkaan bahawa dosa yang dilakukan tidak memberi apa-apa kesan atau pembalasan sebenarnya tidak munasabah pada akal waras, jauh sama sekali daripada prinsip keadilan, apatah lagi menepati syariat Islam yang mana menetapkan setiap perbuatan manusia di dunia ini akan mendapat pembalasan, biarpun sekecil mana kebaikan atau keburukan yang dilakukan.

Justeru itu, Islam menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Dengan ini, barulah individu Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang diwahyukan kepada kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus." (Surah al-Zukhruf, ayat 43)

Maka jelas, orang yang beriman tidak ada pilihan melainkan taat dalam melakukan syariat jika dia ingin kembali di sisi Allah di akhirat kelam dalam keadaan yang diredai. 

Firman Allah bermaksud: “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredai di sisi Tuhanmu.” (Surah al-Fajr, ayat 28).

No comments:

Post a Comment