Sunday 15 January 2017

Cari hadis di internet

Penganut Islam memerlukan hadis untuk rujukan dan panduan hidup. Antara kitab rujukan terkenal ialah Sahih Muslim dan Sahih Bukhari yang dijilid dalam bentuk lengkap sepenuhnya.

Bagaimanapun tidak semua orang berpeluang memiliki kitab Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Sebaliknya banyak yang merujuk kitab hadis berdasarkan kepada bab-bab tertentu saja yang disalin semula atau dijadikan sebahagian daripada sesebuah makalah, naskah atau rencana.

Kaedah tradisi mencari hadis ialah menggunakan kitab hadis atau buku-buku agama. Selain itu, banyak orang belajar hadis dengan berguru, kemudian mencatat sendiri hadis itu untuk rujukan atau kegunaan masa depan.  

Namun, keadaan sekarang sudah banyak berubah selari dengan perubahan taknologi moden. Paling ketara perubahan yang berlaku dalam dekad ini ialah penggunaan internet atau hubungan dunia maya dan perisian. Mereka yang ingin mencari sesuatu maklumat hanya perlu melayari internet dan mengikut prosudur yang amat ringkas untuk mendapat apa yang diingini. 
           
Kaedah melayari internet juga kini dimanfaatkan oleh mereka yang ingin mencari sesuatu hadis. Cara ini semakin meluas dan telah diterima oleh semua golongan, terutama mereka yang dikategorikan sebagai celik komputer. Kaedah ini diterima secara global dan menjadi satu transformasi dalam penyebaran maklumat atau ilmu.

Penggunaan interaksi alam maya juga telah digunakan sebagai satu pendekatan dakwah. Justeru itu, kemasukan atau entri hadith-hadith juga berlaku secara meluas dalam rangkaian internet. 

Kedua-dua sifat internet serta perisian dan kitab memang diakui amat jauh berbeza. Maka itu, ia memperlihatkan cara atau kaedah yang amat berbeza cara untuk memperolehnya. Di sini diturunkan beberapa perbezaan yang ketara di antara kedua-dua kaedah ini.

Perlu ada sambungan internet untuk mendapat data dari pusat simpanan data. Pengunaan internet memerlukan capaian atau sambungan internet. Perkhidmatan ini disediakan oleh syarikat pengendali. Ia dalam bentuk medium wayar dan tanpa wayar. Di negara kita perkembangan perkhidmatan internet berkembang dengan kadar amat cepat.

Pusat simpanan data ini boleh diumpamakan dengan perpustakaan atau tempat simpanan kitab-kitab. Jika kita ingin mencari hadis melalui kitab, kita perlu ada perpustakaan atau tempat kitab disimpan. Tempat simpanan kitab di rumah, tidak kira di mana, termasuk di atas meja, boleh diumpamakan sebagai tempat menyimpan kitab. 

Contoh tempat 'menyimpan' hadis di gerbang maya ialah islam.gov.my/hadith/hadith.asp. Di situ tersimpan banyak hadis yang diselia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).    

Dengan kata lain, perbezaan mencari hadis melalui internet memerlukan kita mendapat sambungan kepada pusat menyimpan data. Sedangkan kaedah pencarian kitab memerlukan kita dapat 'sampai' di tempat kitab-kitab itu disimpan. Contoh umum tempat menyimpan kitab ialah di perpustakaan.

Perlu memilik komputer atau gajet yang berkaitan dengan komunikasi.  Kebanyaknnya orang menggunakan komputer untuk mendapat sambungan internet menggunakan aplikasi yang disediakan. Bagaimanapun, sekarang ini terdapat gaget lain yang digunakan untuk tujuan mengekses internet, termasuklah telefon pintar. 

Peralatan ini boleh diumpamakan dengan kitab hadis itu sendiri. Maknanya, jika melalui internet perlu ada komputer, maka cara kitab mesti memiliki kitab yang berkenaan.

Ini bermakna perbezaan antara carian melalui internet dengan kitab ialah ialah 'fizikal' medium carian. Carian melalui internet menggunakan komputer, sedangkan carian melalui kitab tentulah melibatkan fizikal kitab hadis.  

Pencarian melalui perisian pula biasanya dalam bentuk CD, DVD ataupun medium simpanan memori lain. Bentuk-bentuk ini lebih mirip kepada kitab, tetapi dalam bentuk 'fizikal' lain.
           
Kemahiran menggunakan komputer atau gajet. Memandangkan ia bukan satu kaedah biasa, kemahiran penggunaan alat komunikasi itu amat perlu untuk memudahkan usaha pencarian hadith melalui internet. Pencarian melalui internet menggunaan komputer amat kompleks dan sukar dilakukan oleh mereka yang tidak mahir.

Jelas sekali, perbezaan amat ketara jika pencarian menggunakan kitab hadis. Pencarian menggunakan kitab hadis adalah secara manual memilih kitab-kitab dan juga kemahiran mencari tajuk dan bab-bab yang berkaitan dengan hadith yang ingin dicari. Secara manual atau tradisi ini memerlukan pencari mendapatkan kitab di perpustakaan dan membuat carian secara melihat tajuk atau membelek muka surat demi muka surat.

Dengan kata lain, tidak mungkin kita dapat menggunakan carian internet jika kita tidak tahu menggunanya. Contohnya, golongan tua yang buta komputer sudah pasti tidak dapat menggunakan kaedah ini. Pun begitu, ia bukan satu penghalang mutlak kerana banyak progaram yang mengajar penggunaan komputer. 

Memiliki aplikasi yang berkaitan. Untuk mendapat capaian internet perlu memiliki aplikasi atau sofwere yang berkaitan. Ini bagi membolehkan pencarian dilakukan. Aplikasi adalah 'keupayaan' khusus komputer untuk melakukan tugasan tertentu. Contohnya, komputer yang tidak mempunyai aplikasi untuk 'membaca' DVD tidak dapat melakukan tugas itu, dan ini tentunya menyebabkan carian yang tersimpan dalam DVD itu tidak dapat diperoleh.  

Jika kaedah melalui internet memerlukan aplikasi khusus untuk mencari hadis, kaedah carian kitab juga memerlukan satu 'kemahiran' khusus. Kemahiran yang dimaksudkan ialah keupayaan mengenal pasti hadis-hadis yang ingin dicari. Ini kerana hadis-hadis yang dicari terdapat di kitab-kitab atau bab-bab khusus.  

Kemahiran mengenal pasti ini penting untuk mempercepatkan proses mencari dan mendapat apa yang dikehendaki. Contohnya, adalah sukar untuk kita mencari jangkaan di mana hadis itu terletak jika kita tidak memahami di bab mana perbincangan mengenai hadis itu.

No comments:

Post a Comment