Sunday 15 January 2017

Belajar seumur hidup

Umat Islam perlu merebut peluang kelebihan memiliki ilmu. Proses belajar tidak terhenti ketika di sekolah dan universiti saja. Sebaliknya ia perlu dilakukan seumur hidup. 

Dengan kekuatan akal dan ilmu meletakkan kedudukan seseorang pada tahap lebih baik.  Mereka dapat memahami matlamat hidup dan patuh kepada perintah Maha Pencipta.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”  Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat memahami.”- (Surah az-Zumar ayat 9).   

Seharusnya orang Islam tidak melepaskan peluang untuk berjihad melalui menuntut ilmu. Satu jihad yang amat penting dilaksanakan setiap Muslim bagi mengembalikan kedudukan Islam pada tahap kegemilangan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa yang memasuki masjid kami ini (masjid Nabawi) dengan tujuan mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka ia laksana orang yang berjihad di jalan Allah Ta’ala. Dan barangsiapa yang memasukinya dengan tujuan selain itu, maka ia laksana orang yang sedang melihat sesuatu yang bukan miliknya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, Ibnu Majah dan Ahmad). 

Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya: "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali". (Hadis riwayat Tirmizi).

Berdasarkan prinsip pembelajaran sepanjang hayat, umat Islam tidak akan berhenti belajar setelah tamat alam persekolahan, kerana proses menuntut ilmu itu sebenarnya sudah bermula sejak dari alam rahim dan akan berakhir di liang lahat.

Dalam penelitian seorang Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Antarabangsa (ICED), ketua penyelidiknya, Edgar Faure telah mengemukakan pandangan bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang mewajibkan penganutnya belajar dan mengembangkan kemampuan meraih kesempurnaan secara terus menerus, bukan sahaja kepada perkara-perkara di luar dirinya, bahkan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupannya sendiri, sama ada secara perseorangan ataupun dalam masyarakat.

Jadi, mengapa pula orang Islam masih ketinggalan?  Jawabnya mudah, orang Islam sudah meninggalkan tuntutan agama agar belajar. 

Konsep belajar dalam Islam amat jelas.  Wahyu pertama dan kemudiannya dijelaskan secara sedar oleh Nabi Muhammad SAW, yang mewajibkan setiap muslim (lelaki dan perempuan) menuntut ilmu. 

Sejarah kelahiran dakwah Islam juga bermula daripada konsep ‘menghapuskan kebodohan atau jahil’.  Sebab itu, tawanan perang yang pandai membaca dan menulis diberi peluang menebus atau membebaskan dirinya dengan mengajar ilmu kemahiran itu kepada orang Islam. 

No comments:

Post a Comment