Wednesday, 17 October 2018

TIMBA UPIH NIBUNG

Pada masa dahulu, untuk mengambil air dari telaga mesti menggunakan timba. Timba adalah sejenis alat mencedok air. Ukuran timba lebih kecil dari baldi. 

Kegunaan timba untuk menceduk air, sedangkan baldi lebih kepada menyimpan air. Bagaimanapun ada mengatakan timba dan baldi sama sahaja fungsinya.

Pada masa dahulu, timba dibuat daripada upih nibung. Ramai orang keliru apabila mengatakan timba diperbuat daripada upih pinang. Memang kedua-dua upih nibung dan upih pinang hampir sama, tetapi yang digunakan untuk membuat timba adalah upih nibung.

Upih nibung lebih keras dan tahan lasak berbanding upih pinang. Jadi, ia sesuai dijadikan timba. Sebelum boleh dijadikan timba, upih nibung terlebih dahulu perlu direndam di dalam air selama beberapa hari untuk melembutkannya. 

Jika tidak direndam, upih nibung sukar untuk dibentuk menjadi timba dan boleh 'patah' apabila dibentuk menjadi timba.

Timba upih nibung digunakan untuk menyeduk air dari telaga. Memandangkan paras air jauh ke dalam, maka timba upih akan disangkutkan kepada kayu berbentuk 'V' yang diikat pada hujung kayu atau batang buluh yang ringan. 

Ada teknik dan cara yang perlu dikuasai untuk memasukkan air di dalam timba dan seterusnya dibawa naik. Selain batang buluh dan galah, tali juga ditunakan untuk mengikat timba yang diturunkan ke dalam telaga dan dibawa naik air yang diceduk.

Kebanyakan generasi sekarang tidak kenal dan tidak pernah menggunakan timba. Bahkan, sekarang ini sukar untuk ditemui telaga. Budak sekarang tidak kenal telaga. Sumber air menggunakan yang dibekalkan melalui paip air terus ke rumah.

Timba upih nibung kini sekadar menjadi catatan sejarah mengenai penggunaannya. 

No comments:

Post a Comment