Sunday, 15 January 2017

Cara simpan nilai harta

Lelaki boleh memiliki atau menyimpan emas bukan untuk tujuan perhiasan dirinya. Lelaki juga dibenarkan membawa emas yang bukan tujuan dipakai untuk perhiasan.  

Emas yang dijadikan perhiasan perempuan tidak perlu dikeluarkan zakat. Bagaimanapun, jika jumlahnya dianggap 'terlalu' banyak dan tidak lagi dianggap perhiasaan semata-mata, maka ia wajib dikeluarkan zakat apabila cukup nisab dan haulnya. 

Namun jika emas itu menjadi milik lelaki dan disimpan, penentuan wajib mengeluarkan zakat hanya bergantung kepada cukup nisab dan haulnya tanpa mengira pengecualian seperti diberikan kepada emas yang dimiliki perempuan.

Sesungguhnya menyimpan emas sebagai satu harta adalah diharuskan. Malah, dalam sistem ekonomi Islam, penggunaan dinar emas menjadi lambang kepada 'kesempurnaan' nilai matawang. 

Nilai matawang dinar emas adalah berdasarkan kepada harga pasaran emas dan diterima oleh semua masyarakat dunia. Sedangkan nilai wang kertas hanya berdasarkan ia 'diperakui' mempunyai 'nilai' oleh bank negara sesebuah kerajaan. Pada hakikatnya, wang kertas adalah tidak ubah seperti kertas bercetak lain. 

Sebab itu nilai wang kertas mudah mudah mengalami turun naik. Jika negara pengeluar mencetak lebih baik wang kertas negara berkenaan tanpa meletakkan apa-apa cagaran yang sepadan, maka nilai wang kertas itu akan merosot. 

Di negara yang mengalami krisis ekonomi, nilai wang kertasnya jatuh menjunam, tambah lagi ia berlaku kadar inflasi yang tinggi. Ketika negara kita diperintah oleh Jepun (1941 hingga 1945) wang kertas 'pokok pisang' mengalami kejatuhan nilai sehingga memerlukan jumlah yang banyak untuk memberi barang.

Sebab itu, satu kaedah yang dicadangkan untuk mengatasi kejatuhan nilai matawang ialah dengan menggunakan nilai emas. Namun perkara ini dibantah oleh negara maju yang mana nilai matawang mereka diperdagangkan di seluruh dunia yang memberi keuntungan kepada negara berkenaan melalui proses turun naik nilai matawang. 

Mereka boleh mengawal ekonomi dunia melalui spakulasi mengenai nilai matawang mereka yang digunakan di seluruh dunia. Matawang Dolar Amerika Syarikat lebih banyak berada di luar Amerika Syarikat berbanding di dalam negara berkenaan sendiri. 

Sesungguhnya sesebuah negara itu boleh membuat sebarang peraturan berkaitan dengan nilai matawangnya yang berada di luar negara, termasuk menyahnilai atau menjadikan ia sebagai kertas biasa.  

Ini jauh berbeza bagi wang dinar emas yang mana ia tetap mempunyai nilai di seluruh dunia selagi manusia mempunyai nilai fitrah diri inginkan kepada kecantikan, kemegahan dan kemewahan. Emas mula menjadi rebutan sejak zaman permulaan kehidupan manusia sehinggalah sekarang.

No comments:

Post a Comment