Sunday, 15 January 2017

Rebut peluang niaga

Pengusaha perlu mengamalkan proses kreativiti dalam mengembangkan perniagaan. Proses itu memberi peluang untuk pengusaha melalui peringkat-peringkat tertentu dengan teratur. Sikap tidak mengikut peringkat, biarpun 'laju' dalam usaha dilakukan, besar kemungkinan akan menimbulkan banyak masalah. 

Usaha dalam perniagaan tidak boleh dilakukan terburu-buru, sebaliknya biarlah mengambil masa lebih bagi menjamin apa dilakukan berjalan lancar.  Cari atau tentukan bidang yang ingin diceburi, cari pengalaman dan pengetahuan sebanyak mungkin, cutuskan idea-idea baru, buat kajian mendalam dan kemudian baru dilaksanakan. 

Untuk menghasilkan idea kreatif perlu kepada teknik yang betul. Tanpa menggunakan kaedah betul, idea yang dilahirkan mungkin tidak cukup baik untuk dilaksanakan. Cara pemikiran 'ikut terlintas' dan terus laksanakan tanpa berfikir panjang banyak mendatang keburukan. 

Memang, mungkin secara sepintas lalu, apa yang terlintas di fikiran itu lojik dan sesuai dilakukan, tetapi di sebalik tindakan itu mungkin memberi kesan buruk tidak dijangkan. Sebab itu, amat penting, semua aspek dikaji baik dan buruknya sebelum sesuatu keputusan dilakukan.

Dalam apa keadaan sekalipun, memang tidak dapat lari daripada halangan. Ini hakikat yang mesti diterima, termasuklah dalam soal untuk menghasilkan kreativiti. Masalah tidak ada keyakinan peribadi, takut kepada kritikan, luar kawalan dan tekenan perasaan menjadi penghalang utama. Halangan ini perlu ditanggani dengan bijak dan jangan biarkan ia menjadi penghalang hingga menutup sepenuhnya ruang untuk menghasilkan kreativiti. 

Proses motivasi diri dengan mendapat nasihat pakar perlu untuk mengatasi masalah tidak ada keyakinan diri. Jadikan orang yang telah berjaya sebagai idola dan ikutan. 

Perasaan takut kepada kritikan perlu dijauhkan kerana memang sifat manusia tidak sempurna. Sebarang kritikan diterima dengan hati terbuka dan cuba ambil pengajaran atau penduan daripada kritikan itu.   

Berkaitan, di luar keupayaan kawalan, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan manusia. Memang setiap orang ada batasan keupayaan. Namun, perkara itu dapat diatasi jika dibuat penyusunan tugasan dengan sempurna. Pengusaha perlu mengetahui kekuatan dan kelemahan sendiri dalam merancang sesiapa tindakan.

Manakala, dalam aspek tekanan perasaan, perkara ini dapat diatasi jika pengusaha selalu memandang kepada perkara positif. Tekanan yang dihadapi perlu disahut dengan usaha yang lebih baik dan semangat lebih kental.

Tekanan sebenarnya boleh dianggap satu motivasi atau tonik untuk kita berusaha lebih baik untuk mencapai sesuatu yang lebih sempurna.

Diharapkan kandungan yang diutarakan dapat memberi manfaat untuk pertambahan ilmu dan proses mendalami ilmu berkaitan peringkat dalam proses kreativiti, cara untuk menjana idea seta halangan-halangan yang sering wujud dalam usaha untuk mewujudkan kreativiti.   

No comments:

Post a Comment