Sunday, 15 January 2017

Etika promosi jualan murah

Etika ditakrifkan sebagai prinsip moral yang dapat diterima untuk membimbing seseorang. Etika juga sebagai satu keyakinan individu yang menentukan sesuatu tindakan atau perbuatan itu betul atau salah. 

Etika bukan saja dilihat sebagai amalan individu, tetapi juga merujuk kepada apa yang dilakukan oleh kelompok tertentu yang meliputi profesion, bangsa dan sebagainya.

Masalah etika yang dikenalpasti untuk dibincangkan dalam makalah ini ialah salahlaku etika pengurusan berkaitan dengan promosi jualan murah. 

Promosi jualan secara konsepnya bermaksud peniaga menawarkan harga yang lebih murah kepada pembeli berbanding pada masa bukan promosi jualan.

Kempen jualan murah atau ’sale’ sudah menjadi kebiasaan di negara kita. Selain istilah ’sale’, turut digunakan perkataan lain seperti promosi habis-habisan, penghabisan stok, jualan runtuh, jualan pindah kedai dan sebagainya.

Apapun nama digunakan, promosi jualan murah memang mendapat sambutan. Ini kerana harga yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah daripada harga asal. Potongan harga bukan sekadar 10 atau 20 peratus, bahkan ada yang mencapai 80 peratus lebih rendah berbanding harga asal.

Maka tidak hairan jika kempen jualan murah mendapat sambutan. Pembeli menganggapnya sebagai peluang terbaik yang tidak wajar dilepaskan. Sebab itu, mereka yang menjadi pembeli bukan saja di kalangan mereka yang telah menyimpan hasrat untuk membeli dan memiliki barangan tersebut, bahkan ada juga yang asalnya tidak menaruh minat hendak membelinya. 

Tetapi disebabkan terlalu tertarik dengan tawaran, maka mereka mengambil keputusan untuk membelinya, walaupun tidak memerlukan barang yang ditawarkan itu.

Namun, disebalik keghairahan mengharapkan untung itu, pembeli kerapkali tertipu. Keuntungan yang diharapkan itu sebenarnya membawa kepada kerugian. Antara salah laku etika pengurusan dilakukan peniaga melakukan jualan murah ialah:

Barang yang ditawarkan tidak berkualiti. Perkara ini sering berlaku dalam promosi jualan. Dengan kata lain, pemberian diskaun diberikan kerana kualiti barang telah berkurangan. 

Dengan kata lain, barang yang tidak berkualiti itu sepatutnya dijual dengan harga murah tanpa menyatakan bahawa itu adalah promosi jualan. Bahkan, dalam kes barangan tertentu, barang tidak berkualiti tidak sepatutnya dijual lagi.

Namun, penjual tidak memaklumkan perkara itu dalam iklan promosi yang dibuat. Malah, utuk mengelirukan pembeli, barang berkualiti dicampur dengan barang tidak berkualiti. Ini bagi mengelak pembeli dapat mengetahui keadaan sebenar barang hendak dijual. Dengan kata lain, pembeli bergantung kepada nasib sama ada mendapat barang berkualiti atau sebaliknya.  

 Apa yang dijual tidak seperti diiklankan. Taktik digunakan peniaga ialah menggunakan gambar atau imej yang menunjukkan ciri-ciri hebat barang yang ditawarkan. Ia kelihatan begitu menarik dalam gambar atau bannar yang dipemerkan. Berdasarkan gambar menarik itu berjaya mempengaruhi pembeli datang untuk membeli. 

Malang sekali, setelah melihat dan menilai sendiri secara fizikal, barang yang ditawarkan itu tidak sehebat mana. Apa yang dinyatakan dalam iklan hanya gimik atau untuk mengelirukan pembeli. Banyak pembeli tertipu dan tetap membeli kerana terpengaruh. Bagi pembeli yang peka, mereka mungkin tidak membeli barang tidak berkualiti. 

Tetapi, biasanya, jika yang terlibat itu adalah supermarket atau syarikat yang turut menawarkan pelbagai barang lain, kehadiran mereka yang asalnya ingin membeli barang tertentu yang dipromosikan untuk jualan murah, mungkin akan membeli barang lain di tempat itu. Ini salah satu stategi penjual yang mana pembeli akan membeli barang lain.  

Hanya barangan terpilih diberikan potongan harga. Dalam iklan dinyatakan pusat perniagaan itu memberi potongan hingga 50 hingga 80 peratus. Iklan seperti itu tentu amat menarik bagi pengguna. Namun, apabila datang ke lokasi, nyata sekali barang yang diberikan potongan yang tinggi itu hanya beberapa jenis saja. Itupun barang murah dan tidak berkualiti. Sedangkan, barang-barang lain hanya diberi potongan sedikit saja, bahkan ada tidak mendapat potongan harga langsung. 

Taktik ini dilakukan untuk menarik kehadiran pelanggan agar tertarik untuk membeli barangan lain. Biasanya pembeli pergi ke pusat membeli-belah bukan untuk membeli satu barangan tertentu saja.

Manipulasi potongan harga. Potongan harga yang dinyatakan sebenarnya tidak  seperti yang dinyatakan. Maksudnya, harga sebenar barang tersebut telah dinaikkan terlebih dahulu, dan kemudian dibuat potongan harga seperti yang dipromosikan. 

Contohnya, satu barang di pasaran biasa harganya RM10. Sebelum diadakan promosi potongan harga, harga barang itu telah dinaikkan sampai RM20. Kemudian, apabila hendak diadakan promosi, barang itu diberi potongan hingga 70 peratus atau menjadi hanya RM6.  

Sedangkan hakikat sebenarnya jika dikira berdasarkan harga asal, potongan yang dibuat hanya 40 peratus. Manipulasi potongan harga ini dilakukan bagi menarik pelanggan bahawa peratusan potongan harga amat besar.

Jumlah barang sedikit. Satu lagi kes kerap berlaku ialah jumlah barang yang diberi peratusan potongan harga tinggi amat sedikit. Jadi, barang itu cepat habis. Apabila pelanggan hendak membelinya, barang itu telah tiada. 

Sedangkan, tarikan utama pelanggan pergi ke kedai itu adalah untuk membeli barang yang dinyatakan mendapat potongan harga yang tinggi itu. Pembeli biasanya sanggup membeli barang lain yang hampir sama atau dari jenama lain.

Barang tiruan. Barang ternama dan berkualiti tinggi tentunya berharga mahal. Banyak orang impikan untuk memiliki barang berjenama yang melambangkan status dan kepuasan. 

Namun, harga mahal membantut hasrat kebanyakan orang, terutama di kalangan golongan miskin dan sederhana. Apa tidaknya, jam tangan berjanama harganya mencecah ribuan ringgit dan ada hingga puluhan ribu. Harganya berpuluh kali ganda harga tangan biasa. 

Justeru, wujud barang tiruan yang seakan-akan atau sama dengan barang berjenama, kecuali dari segi kualiti. Harganya jauh lebih murah. 

Dengan kata lain peniaga boleh mendapatkan barang itu dengan harga amat murah. Justeru, apabila hendak menjualnya sebagai kononnya barang asli, mereka boleh membuat promosi potongan harga runtuh. Peniaga mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Bila Berlaku?  Fenomina salah etika ini berlaku terutama ketika musim perayaan. Orang yang menjadi mangsa biasanya golongan miskin dan pertengahan. 

Mereka ini memang mengharapkan untuk mendapat keuntungan daripada jualan murah itu. Mereka menganggap satu rahmat, tetapi sebenarnya satu khianat terhadap diri mereka telah dilakukan peniaga.

Pada musim perayaan, banyak wang hendak digunakan. Banyak barang atau persiapan untuk menyambut perayaan perlu diadakan agar disambut meriah.  

Maka, bagi golongan miskin dan pertengahan, cara terbaik untuk memenuhi impian ialah membeli pada jualan murah. Mereka mendapat barang diperlukan dengan harga murah dan kuantiti yang banyak.

Namun, disebabkan sikap tamak dan tidak beranggungjawab peniaga, mereka menjadi mangsa. 

Mereka terpaksa menanggung kerugian apabila membeli barang yang tidak seperti diharapkan. Bahkan, terdapat kes pembeli terpaksa membayar harga lebih tinggi berbanding masa promosi.  

Siapa Melakukan Salahlaku Etika ini?  Pihak melakukan salahlaku etika terdiri daripada peniaga yang mengutamakan untung semata-mata.  

Peniaga yang terlibat tidak terhad kelompok tertentu. Ini termasuk gedung membeli belah, supermarket, kedai baju, peniaga tepi jalan dan kedai runcit. 


Sebab itu, pengguna perlu berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan promosi besar-besaran.                                                       

Peniaga tidak jujur mengambil peluang mengaut untuk sebanyak mungkin. Mereka berpegang kepada falsafah, peluang mengaut untung setahun sekali jangan dilepaskan. Paling ketara dilakukan peniaga yang sekadar berniaga pada musim perayaan saja. Mereka tidak takut hilang pelanggan, kerana lepas musim perayaan, mereka berhenti berniaga.

Mengapa Perkara Ini Berlaku Berterusan? Sikap pengguna di Malaysia yang tidak peka kepada hak mereka menyebabkan peniaga lebih berani melakukan salahlaku etika itu.  

Biasanya pengguna bersedia ’memaafkan’ dan bertolak ansur biarpun mengetahui mereka telah menjadi mangsa tidak bertanggungjawab peniaga.

No comments:

Post a Comment