Bulan Rejab merupakan salah satu daripada
'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan
Zulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia.
Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat
36, yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum)
Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa
Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati).
Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu
menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar
laranganNya)...."
Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw
bersabda, "Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta
langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat
bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah,
Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan
Sya'ban." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan,
maksud Rejab ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan
Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah
berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku
pada 27 Rejab.
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan
Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang
bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan
dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.
Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu
persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum
kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab
sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan.
Antara amalan popular yang dilakukan oleh
sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka
berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan
malam dengan sembahyang sunat Rejab.
Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia
umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika
melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab.
Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada
umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada
Rasulullah SAW dari hadis sahih.
Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab,
puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada
hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).
Isu mencemarkan bulan Rejab dengan
janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama.
Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha
golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw
berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam
ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang
buku yang bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in fi Rajab
(Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh
pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (w. 852H) yang
mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab
(Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang
kelebihan Rejab)'.
'Ata; seorang ulama tabiin menjelaskan, Nabi
Muhammad SAW melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak
dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab
Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11).
Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan,
"Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah
berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan
orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.
Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama
seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama
daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi
mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan.
Begitu juga dengan individu yang menghidupkan
malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan
lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja
dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang
dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan
tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi
fadhl Rajab': "Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang
kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk
menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu."
Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan
oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat hadis sahih yang
boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab,
juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab...namun begitu terdapat sebahagian
ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan
Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis
mauduk."
Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan
khusus padanya yang bersumberkan laporan/hadis palsu ialah:
- Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab
nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini
palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis
sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak
al-Saqati.
- Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban
bulanku, dan bulan Ramadan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka
oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang
pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor
hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.
- Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan
seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka
oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang
pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
- Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan
Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa
tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari,
Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan
Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis
baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan
Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang
mudah.
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh
seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong
iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan
berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya
direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.
- Sesiapa sembahyang maghrib pada hari
pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat
dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas
itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya?
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh
seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong
iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka
menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat
tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab.
Antara individu lain yang bertanggungjawab
membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi
'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat
Ragha'ib.
- Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah
daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor
hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin
Abi 'Iyash.
Gambar sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment