Soalan: Apakah
terdapat kelebihan atau amalan tertentu (khusus) dalam Bulan Rejab berdasarkan
pendapat para ulama’?
Jawapan
:
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi
Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang
yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
[Kelebihan
bulan Rejab]
Di
sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kelebihan bulan
Rejab, Antaranya ialah:
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:
“Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih
(yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya,
berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang
khusus”. [Tabyin al-‘Ajab, 9]
Imam
Ibn al-Qayyim mengatakan:
“Setiap
hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam
tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka”.
[al-Manar
al-Munif, 96]
Imam
al-Syaukani pula berkata:
“Tidak
ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah
yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua
yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan
teramat dhaif”.
[al-Sail
al-Jarrar, 297]
Imam
Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab
yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat
Baginda SAW”. [Faidh al-Qadhir, 4:210]
[Tarjih]
Setelah
kami melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami
cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan
yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu.
Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan
seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat
tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan
yang khusus atau tertentu. Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam
bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram
berbanding bulan-bulan yang lain.
[Penutup]
Sempena
kemasukan bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik
kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam
setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Qur’an dan
juga sunnah Rasulullah SAW. Amin.
Dr Zulkifli Al Bakri.
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment