Pemikiran humanisme meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat
hidup. Mereka menjadikan hak kebebasan sebagai alat untuk menghalalkan apa saja
yang mereka inginkan. Apa saja yang diingini perlu dibenarkan, biarpun
bertentangan dengan agama dan tabie manusia.
Contohnya pemikiran ini meletakkan seks adalah keperluan manusia
yang boleh dipenuhi dengan apa cara pun. Maka, perhubungan seks bebas perlu
dibenarkan asalkan dipersetujui lelaki dan perempuan yang terlibat. Mereka
menganggap persetujuan itu sudah menjadi satu elemen akad nikah iaitu saling
menerima dan bersetuju.
Malah, kumpulan ini turut mempertahankan perkahwinan antara
jantina yang sama dihalalkan kerana itu hak mereka untuk menentukan apa yang
mereka inginkan. Perbuatan itu didakawa sebagai tidak mencabul hak
mana-mana pihak kerana individu terlibat sendiri memilih dan menyukai, bahkan
dianggap sebagai satu keperluan untuk mereka. Maka itu, pihak yang
menghalang kehendak mereka pula dituduh sebagai mencabul hak kebebasan mereka
yang patut dipersalahkan.
Pemikiran mereka ini semakin popular apabila ada di kalangan
mereka yang bergelar pemimpin menyokong pemikiran mereka. Amalan ini bukan saja
menyerang negara Islam, bahkan juga di negara-negara bukan Islam. Perkembangan
di negara bukan Islam menjadi inspirasi kepada perjuangan amalan songsang
ini.
Mereka tidak berselindung lagi untuk memperjungan hak yang
sebenarnya bukan hak itu. Inilah yang diperjuangkan oleh kumpulan hak
asasi COMANGO yang memohon agar amalan seks bebas diamalkan, selain meminta
agar diluluskan pernikahan sejenis.
Sebenarnya, pemikiran humanisme inilah yang membawa kepada
pemikiran materialisme, sekularisme, komunisme, sosialisme, kapitalisme,
liberalisme dan lain-lain. Biarpun nampak berbeza, hakikatnya mereka
memperjuangan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama.
Pemikiran humanisme ini telah menyelinap masuk ke dalam
pemikiran umat Islam. Bermula dengan kejahilan terhadap agama dan ketandusan
iman, pemikiran mereka begitu mudah diterobos oleh pemikiran
ini.
Pada mereka, kehidupan ini harus mencapai kebebasan 100 peratus,
selagi ia tidak melibatkan keburukan kepada pihak lain. Mereka inginkan
keseronokan dan kepuasan. Sekiranya dikatakan itu perbuatan dosa, dengan
bangga mereka mengatakan kubur masing-masing.
No comments:
Post a Comment