Nafsu
ada dua sifat iaitu membawa kebaikan (mahmudah) dan mendorong melakukan
keburukan (mazmumah). Kedua-dua jenis nafsu ini saling menguasai diri
seseorang. Jika mahudah yang lebih kuat, maka kebaikan yang lebih banyak
dilakukan. Sedangkan jika mazmumah yang lebih berkuasa, maka
terjelmalah keburukan dan durhaka lebih banyak dilakukan.
Sifat
mahmudah dan mazmumah dalam diri manusia lahir dari kebiasan yang
diamalkan. Ia berkait rapat dengan tahap keimanan. Mereka
yang benar-benar bertakwa kepada Allah akan menjauhkan segala sifat tercela,
kerana mereka sedar apa yang dilakukan di dunia ini akan menerima pembalasan di
akhirat kelak.
Sesunguhnya
manusia berdepan dengan musuh yang akan sentiasa mengajak melakukan keburukan
dan penderhakaan terhadap Allah. Musuh yang dimaksudkan ialah
syaitan.
Firman
Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu. Maka
itu musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongan yang
terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka." (surah Fathir, ayat
6).
Demi
cita-cita menyesatkan manusia, syaitan akan menyusup dan menyelinap dalam semua
aktiviti kehidupan manusia. Semua golongan tidak kira beriman atau
tidak, kaya atau miskin, cedik atau bodoh, kuat atau lemah, alim atau jahil dan
tua atau muda tidak terkecuali didampingi oleh syaitan.
Perlu
ditegaskan, syaitan yang wajib dijauhi bukan saja berupa dalam bentuk kejadian
asalnya yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia
biasa. Malah, syaitan juga datang dalam bentuk manusia biasa yang
hidup di alam nyata, yakni manusia yang telah terpengaruh dengan tipu daya syaitan
menjalankan tugas-tugas syaitan. Syaitan menguasai golongan ini
menjadi agen untuk menyesatkan
manusia.
Ingatlah
firman Allah yang bermaksud: “(Aku berlindung kepada Allah) daripada kejahatan
pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan
(menghembuskan) bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada jin dan manusia.” (Surah an-Nas,
ayat 4-6)
Sebab itu berhati-hatilah
dalam sebarang tindakan. Jangan mudah
terpengaruh dengan nafsu yang membawa kepada keburukan. Kebaikan yang diperoleh hasil melakukan
kejahatan tidak akan membawa kesenangan atau kebahagiaan hidup.
No comments:
Post a Comment