Saturday, 20 May 2017

Masjid Telipot lawan kondominium

Kerajaan Kelantan tidak menghirau bantahan penduduk di Kejiranan Raja Dewa, Telipot berhampiran pusat bandar Kota Bharu apabila meneruskan pembinaan Apartment D'Perdana di kawasan berkenaan.

Asas bantahan penduduk terhadap pembinaan apartment setinggi 23 tingkat bernilai RM158 juta tersebut kerana kedudukannya bersebelahan dengan Masjid Telipot, yang mana kawasan tersebut dicadangkan pembesaran masjid dan tempat letak kenderaan. 

Apabila siapa, projek dimajukan oleh Jalur Saujana Sdn Bhd, anak syarikat Protasco Berhad itu merangkumi 568 unit rumah di aras 6 hingga 23, dengan pembahagian 140 unit rumah jenis A, 156 unit rumah jenis B, 136 unit rumah jenis C dan 136 unit rumah jenis C2 beserta 15 unit kedai pada aras lantai bangunan tersebut.

Pembangunan D’Perdana Telipot di atas tanah berkeluasan hampir 2 ekar ini menawarkan unit apartmen berkeluasan 460 kaki persegi sehingga 850 kaki persegi. Selain itu, turut disediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur seperti dewan serbaguna, Sky Garden dan Rooftop Garden, taman permainan kanak-kanak berserta kolam mandi berasingan untuk lelaki dan perempuan.

D’Perdana Telipot turut menawarkan unit 3 bilik tidur untuk penduduk di Kota Bharu dengan harga yang amat berpatutan, sejajar dengan aspirasi negara dalam menggalakkan milikan rumah bagi kesemua rakyat.

Tanah bakal dibina apartment ini adalah tanah yang anugerahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan semasa zaman Datuk Asri untuk dijadikan Taman Asuhan Kanak-Kanak pertama di Kelantan dan bila Zaman Tan Sri Mohamed Yaacob pula diperkemaskan dengan diletakkan di bawah jagaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) (tanah itu bukan diberi milik kepada YIK)  bermula 1978 dengan niat ia terus menjadi kawasan institusi pendidikan dan mengembangkan syiar Islam,

Kronologi polimik ini bermula apabila permohonan merancang membina kondominium 23 tingkat dengan menggunakan Lot 235, Seksyen 20. iaitu Lot Masjid itu sendiri pada 21 Julai 2014. Pada ketika ini nama YIK masih tiada dalam geran tanah tersebut.

Pada peringkat ini telah timbul persoalan bagaimana permohonan kebenaran merancang oleh sebuah badan yang tiada pemilikan ke atas tanah tersebut. 
Persoalan kedua diperingkat ini, bolehkah permohonan merancang atas lot lain tetapi telah menggunakan nama lot lain iaitu lot Masjid itu sendiri.

Pada 20 Ogos 2014 kelulusan telah dikeluarkan oleh MPKB dan mengejutkan tak sampai sebulan dari tarikh ia dihantar, malah untuk pembinaan bangunan sebesar ini di kawasan kejiranan sedia ada tiada satupun public inquiry dilakukan bersama penduduk.

Menyedari situasi tersebut Kerajaan Negeri Kelantan menganugerahkan  secara tergesa-gesa kepada YIK tanah itu pada 30 Julai 2014 iaitu selepas permohonan merancang dihantar atas lot Masjid Telipot (lot 235) menjadikan lot baru PT470 dikeluarkan geran atas nama YIK.

Kelulusan ini  secara tidak langsung melanggar apa yang telah ditetapkan oleh Rancangan Tempatan Kota Bharu 2020 (RT2020) yang mengkelaskan hanya pembangunan untuk institusi pendidikan dibenarkan di tanah tersebut.

Pada 10 Sept 2014, satu surat bantahan rasmi penduduk kawasan kejiranan sekitar Masjid Telipot iaitu kejiranan Raja Dewa telah dihantar kepada semua pihak berkepentingan termasuk kepada Adun Bunut Payong YB Dr Ramli Mamat, Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Datuk Takiyuddin Hassan, malah kepada Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sendiri.

Bantahan tidak diendahkan dan rentetan itu satu bantahan aman diadakan di perkarangan Masjid Telipot pada 29 Mei 2015. Namun respon Kerajaan Negeri dalam sidang Dun pula menyatakan pihak AJK Masjid tidak membantah projek itu.

Kerajaan Negeri dilihat cuba memperbodohkan penduduk Kejiranan Raja Dewa kerana Jawatankusa Masjid Telipot ini dipengerusikan oleh Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri malah beliau juga adalah Ahli Lembaga Yayasan Islam Kelantan. Jadi, mana mungkin di peringkat Jawatankusa Masjid membantah?

Setelah kelulusan diperolehi, YIK mencari beberapa pelabur dan tak kurang juga yang tidak berminat sehinggalah pada 21 Jan 2016 Syarikat Jalur Saujana Sdn Bhd yang menandatangani MOU ini untuk melaksanakan projek tersebut.

Untuk tidak menimbulkan kemarahan rakyat tentang projek itu, mereka telah menggunakan orang Islam sebagai penama dalam syarikat walau hakikatnya ia adalah milik sepenuhnya Protasco Berhad. di bawah Dato Sri Ir Chong Ket Pen. Pada masa sama mereka maklum kepada rakyat bahawa projek itu adalah apartment Patuh Syariah pertama seumpamanya di dunia.

Pihak kejiranan tidak berputus asa untuk menghalang projek itu, pelbagai usaha dilakukan termasuk pada 11 April 2017 menghantar surat bantahan kepada Jabatan Perancang Bandar. Penduduk juga  memohon kepada YIK jika wanglah yang dikejar,  mereka mohon untuk jualkan tanah tersebut kepada rakyat dan diwakafkan kembali untuk pembinaan masjid atau pusat pembelajaran Islam di sebelah masjid itu.

Namun segalanya tidak membuahkan hasil apabila, kerajaan Kelantan tetap meneruskan pembinaan apartment tersebut apabila perasmian pecah tanah telah dilakukan oleh Menteri Besar.

Malah, bagi pihak kerajaan negeri, projek tersebut dianggap satu kejayaan seperti mana satu catatan di Facebook milik agensi kerajaan Kelantan yang menyebut: KOTA BHARU 17 Mei: Selepas berjaya membangunkan beberapa apartmen antaranya Pusat Dagangan Kelantan (KTC), projek Apartmen D’ Perdana Sri Cemerlang dan apartmen elit TROIKA Kota Bharu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kembali mendapat tonik untuk terus membangunkan projek apartmen servis serta menjadi pelopor dalam sektor tersebut di negeri ini.

Keputusan kerajaan Kelantan meneruskan projek tersebut menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan rakyat, khususnya terhadap Menteri Besar yang tidak memperdulikan dan mengendahkan bantahan penduduk-penduduk setempat dan NGO terhadap projek ini. Malah surat bantahan rasmi penduduk telah dihantar kepada Menteri Besar sendiri pada 10 Sept 2014.

Penduduk mempersoalkan adakah Menteri Besar tidak mengetahui bahawa betapa berdosanya seorang pemimpin yang tidak memperdulikan rintihan rakyat dan tidak mengambil peduli permintaan rakyat dengan alasan-alasan yang munasabah agar tidak membina kondo mewah bersebelahan dengan Masjid Telipot ini.

Banyak persoalan ditimbulkan bukan saja di kalangan penduduk setempat, bahkan orang ramai yang mengikuti isu pembinaan apartmen ini.

Antara perkara yang diperkatakan ialah bukankah lebih baik kalau kondo itu dibina di tempat lain untuk tidak merosakkan persekitaram "elit" di Talipot itu. Tindakan meneruskan pembinaan itu dianggap satu penghinaan dan hipokrasi oleh kerajaan Kelantan hari ini.

Keadaan itu dilihat antara ciri-ciri kelemahan dan kebobrokan kerajaan Kelantan hari ini dan juga teknokrat Kelantan yang ada hari ini. Tindakan berkenaan menunjukkan cara 'berfikir' yang tidak ubah seperti 'binatang' yang mendapatkan makanan dengan apa juga cara.

Tindakan itu sudah melanggari konsep 'Merakyat Membangun Bersama Islam' oleh kerajaan negeri Kelantan. Ternyata Kerajaan Kelantan telah hilang kompas akhlak dan konsep Merakyat Membangun Bersama Islam hanya slogan penglipur lara semata-mata.

Turut dipertikaikan adakah kondo di atas lot bersebelahan masjid lebih aula dari pembesaran masjid, sedangkan itu sahaja tanah kosong yang ada. Ini jelas menunjukkan projek komersial bermatlamatkan keuntungan lebih diutamakan dari pembesaran masjid yang diketahui umum telah sesak, baik dari segi ruangan solat mahu pun kawasan letak kereta.

Kalaulah wang yang diutamakan, jawatankuasa penduduk mencadangkan membuat kutipan derma untuk membayar harga tanah setimpal dengan nilai pasaran.

Bantahan penduduk telah tidak diambil kira. Menggambarkan Kerajaan yang ada tidak mengikut prinsip Islam yang mengutamakan permesyuaratan dan mendengar pandangan kedua pihak-pihak yang terlibat seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Pembinaan kondominum itu melanggar beberapa peraturan seperti tidak membatalkan semula penggazetan sebagai zon pendidikan seperti mana Rancangan Tempatan Kota Bharu 2020.

Penggazetan semula itu memerlukan pameran awam untuk tujuan bantahan.  Urusan ini tidak dilakukan.

Kemungkinan wujudnya pertindihan kepentingan kerana Ahli Lembaga YIK yang menjadi tuan punya tanah selepas Kerajaan menganugerahkan kepadanya adalah orang yang sama yang duduk dalam Lembaga PKINK

Biarpun telah berlangsung pecah tanah projek, terdapat pihak yang masih ingin memperjuangkan agar projek itu dibatalkan. Sama-sama kita nantikan keputusan seterusnya. 

No comments:

Post a Comment