Monday, 26 June 2017

Rasa lapar dorong laku ketaatan

Rasa lapar mempunyai daya yang sangat besar dalam mendorong diri seseorang untuk melakukan ketaatan. Ia melemahkan nafsu syahwat yang selalu mendorong kepada keburukan, biarpun kuatnya tekanan hawa nafsu itu pada diri seseorang.

Sahal ibn Abdullah berkata: “Demi Allah, Yang tidak ada Tuhan selain Dia, orang-orang yang terbiasa melakukan apa yang dibenci Allah tidak akan berubah menjadi orang-orang yang melakukan apa yang dicintai Allah, kecuali dengan lapar. Manusia tidak akan menjadi manusia yang benar kecuali dengan lapar.”

Ibrahim Adham menyatakan: "Aku telah menerima suatu riwayat bahawa Iblis melihat Nabi Isa berlapar-lapar di malam dan siang hari. Iblis bertanya, “Mengapa kau berlapar-lapar seperti itu? Maukah kamu aku bawakan makanan?’

Nabi Isa menjawab, “Kamu tahu bahawa sesungguhnya jika aku berkata kepada gunung-gunung dan lembah-lembah ‘Jadilah kalian makanan atas izin Allah’, mereka pasti menjelma menjadi makanan. Kamu adalah musuhku dan hawa nafsu adalah mata-matamu yang ada padaku.”

Rasulullah SAW bersabda bahawa sepertiga bahagian perut hendaknya diisi dengan makanan, sepertiga diisi dengan air dan sepertiga lagi dibiarkan kosong untuk udara. 

Ketika hadis ini terdengar oleh seorang falsafah, dia terperanjat dan berkata: "Baru sekarang ini aku mendengar perkataan yang sangat tepat dan baik untuk mengurangi makan. Tidak diragukan lagi, inilah kata-kata ahli hikmah.". 

Hari ini kebanyakan orang mati bukan kerana kekurangan makanan, tetapi disebabkan terlebih makan. Amalan makan lebih banyak mendatangkan masalah kepada kesihatan mengakibatkan diri mengidap penyakit berbahaya sehingga membawa kepada maut.

Sebab itu, cara terbaik untuk mencegah penyakit berbahaya ialah dengan mengawal makan. Makanlah sekadar untuk keperluan menjaga kesihatan dan memberi tanaga untuk aktiviti seharian.

Kebanyakan penyakit berasal dari banyak makan. Apabila banyak makan, maka lemak akan berkumpul di dalam usus dan urat, akibatnya timbul bermacam-macam penyakit, sehingga terhalang untuk beribadah dan hati sentiasa gelisah sehingga menghalangi zikir dan fikir.

Di samping itu perlu makan ubat, berpantang, harus mengunjungi doktor, memeriksa tekanan darah memeriksa najis. Pendek kata, mereka akan terperangkap dalam banyak peraturan akibat banyak makan dan tentu saja harus mengeluarkan banyak wang. 

Belum lagi kesusahan dan penderitaan yang harus dirasakannya. Hanya orang yang dapat menahan lapar yang selamat dari musibah ini.

No comments:

Post a Comment