Musab Bin Umair antara individu terawal memeluk Islam di
kalangan bangsawan Quraisy yang mewah dan berpewatakkan hebat akhirnya dibuang
keluarga kerana memilih Islam. Dari hidup penuh kemewahan beliau mengharungi
hidup seperti orang biasa yang miskin hartanya namun jiwanya kaya.
Sempat berhijrah ke Habsyah dan Yathrib (Madinah). Menjadi
utusan Rasulullah SAW untuk mengajarkan al Quran ke (Madinah) sebelum Baginda
berhijrah. Ramai yang berjaya diIslamkan oleh Musab hasil dari dakwah beliau
yang penuh hikmah dan bijaksana.
Musab pernah dipertanggungjawabkan membawa panji-panji
tentera Islam dalam dua peperangan iaitu Perang Badar yang dimenangi tentara
Islam dan Perang Uhud yang menyaksikan kekalahan di pihak tentera Islam.
Musab terus memegang panji-panji biarpun kedua-dua tangannya
telah terpotong dilibas tentera musuh sehinggalah panji-panji itu dirangkul oleh
Ali Bin Abi Talib atas arahan Rasulullah SAW. Musab gugur syahid yang dikenang
sebagai pembawa panji-panji tentera Islam sehingga ke akhir hayat.
Kesedihan menyelubungi tentera Islam terutamanya Rasulullah SAW
melihat gugurnya Musab dalam usia awal 40an. Syahid seorang yang asalnya
bangsawan Quraisy yang bukan sekadar kaya tetapi segak dan tampan telah memilih
akhirat sebagai tempat istirehatnya.
Baginda dan bersama para sahabat melihat jasad Musab yang
memakai pakaian yang kasar buatannya iaitu pakaian orang-orang biasa sedangkan
dahulunya beliau mengenakan pakaian dari kain yang halus buatannya. Malah kain
yang dimiliki untuk menutup jenazahnya tidak cukup panjang. Apabila ditutup
mukanya maka terdedahlah kakinya, manakala apabila ditutup kakinya maka
terdedahlah mukanya. Lalu Baginda berkata,” tutuplah pada bahagian kepalanya
dan kakinya tutuplah dengan idzkhir (sejenis daun).”
Seterusnya Baginda yang melihat kain kasar yang menutup
jasad Musab berkatalah Baginda: "Ketika di Mekah dahulu, tidak ada seorang
pun yang aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya
daripadanya. Tetapi sekarang ini, dengan
rambutmu yang tak terurus hanya dibalut sehelai burdah."
Seterusnya Baginda berkata ketika melihat kepada mereka yang
syahid: "Sungguh, Rasulullah akan menjadi saksi nanti di hari kiamat,
bahawa kalian semua adalah syuhada di sisi Allah!"
Begitulah gugurnya syuhada Musab pejuang yang kenal erti
kehidupan dan matlamat akhirat.
No comments:
Post a Comment