Kerapuhan jati diri dalam kalangan bangsa
Melayu sehingga membenarkan budaya negatif Barat menghakis nilai murni
masyarakat itu perlu dipantau. Melayu akan hanya tinggal pada kad pengenalan
jika penghakisan amalan tradisi Melayu berterusan seperti trend terkini.
Budaya Barat kini menjadi ancaman terhadap
penghakisan tradisi dan budaya melalui kecelaruan pemikiran yang hadir dalam
bangsa Melayu tanpa disedari. Dunia terbuka melalui alam maya
memberi akses kepada semua orang untuk melihat jendela dunia tanpa batasan.
Golongan muda mudah terpengaruh dengan apa yang mereka
lihat tanpa memikirkan kesan baik dan buruk. Apa yang penting pada mereka ialah
keseronokan dan kepuasan tanpa batas. Sehingga mereka menganggap apa yang
diamalkan dalam masyarakat Melayu sebagai kolot dan mengokong.
Maka itu, usaha memperkasa jati diri semakin
terhakis apabila anak jati Melayu sendiri menolak Melayunya, tidak mahu
berbahasa Melayu, memperlekeh nilai dan hati budi Melayu, dan akhir ini, atas
nama kebebasan bersuara, ada sanggup meninggalkan agama Islam yang sinonim
dengan Melayu.
Islam adalah anutan Melayu. Jika Melayu runtuh,
maka Islam turut akan terlerai di Malaysia. Kehidupan Melayu adalah gambaran apa yang
dikehendaki oleh Islam. Melayu mengamalkan kehidupan yang berteraskan kepada
konsep Islam.
Lihat sahaja bagaimana orang Melayu mencipta
baju kurung yang cantik, tetapi pada masa sama menutup aurat. Lihat bagaimana
tutur bicara yang lembut dan mengormati orang lain yang diajar dalam Islam.
Orang Melayu mengawal tingkah laku pergaulan antara
lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Itu adalah amalan yang disyariatkan dalam
Islam. Dengan kata lain, apa saja yang diamalkan dalam masyarakat Melayu ada cerminan
kehendak Islam.
Maka itu, jika teras jati diri Melayu terlerai,
ditakuti juga akan memberi kesan kepada kekuatan Islam.
Kita bimbing dengan perilaku bebas golongan muda dengan apa diamalkan di negara Barat dianggap mereka sejajar dengan peredaran zaman
sehingga sanggup meniru gaya hidup Barat serta menerap nilai pemikiran yang
bertentangan dengan kemurnian budaya bangsa.
No comments:
Post a Comment