Isu sungai bukan timbul ketika musim banjir
semata-mata. Cerita sungai kotor dan air
tidak selamat untuk kegunaan umum tidak berpenghujung walaupun pelbagai kempen
dan usaha telah dilakukan.
Inilah hakikat yang terpaksa diakui. Bilangan
sungai yang ‘sudah mati’ akibat terlalu kotor dan tercemar semakin
bertambah. Memalukan apabila sungai yang
dulunya air jernih dan banyak hidupan air mendiaminya yang menjadi punca
pendapatan nelayan, kini hanya layak dipanggil longkang besar.
Kajian hidrologi
mengkategorikan tiga sumber pencemaran sungai iaitu pencemaran fizikal seperti
sampah sarap, pencemaran biologi seperti najis binatang dan pencemaran kimia
yang terdiri daripada bahan kimia terlarut.
Pemandangan
sungai yang tercemar hilang daya tarikan. Sungai yang dikaitakan dengan kedamaian dan keindahan telah bertukar
kepada menyakitkan mata dan mendatangkan bau busuk. Sungai tidak lagi menjadi daya tarikan dan
rebutan golongan kaya untuk dijadikan laman rumah.
Sedangkan
pada masa lalu, tebing sungai dijadikan penempatan golongan kaya. Banyak istana dibina berhampiran dengan
sungai. Begitu juga, penempatan di
sesuatu tempat bermula di tebing sungai seperti dapat dilihat kebanyakan bandar
besar di negara kita dan di luar negara.
Sebaliknya
kini, sungai menjadi rebutan bagi golongan tidak berada. Kawasan tebing sungai menjadi penempatan
setinggan yang tidak menghiraukan soal bau busuk dan pemandangan tidak elok
sungai kerana mereka tidak ada banyak pilihan untuk mencari tempat yang lebih
selesa.
Penghuni
tebing sungai mengambil jalan mudah membuang sampah sarap ke dalam sungai yang
dijadikan seperti tong sampah. Tidak hairanlah jika sungai di kota dipenuhi
oleh sampah yang menyebabkan aliran air bergerak perlahan membawa sampah
sehingga ke laut.
Kerajaan
terpaksa menyediakan peruntukan yang besar untuk membersihkan sungai yang
tercemar. Peruntukan itu sepatutnya
boleh digunakan untuk tujuan lain, jika sungai-sungai di negara kita sedia
dalam keadaan bersih. Mencegah adalah
lebih baik daripada merawat.
Alasan
pihak yang mengatakan keadaan itu tidak dapat dielakkan memandangkan perkara
itu sebahagian daripada proses urbanisasi sebenarnya tidak boleh diterima
kerana banyak sungai di negara maju yang mengalir di tengah kota besar berada
dalam keadaan bersih.
Contohnya,
Sungai Thames di kota London kekal bersih dan menjadi satu daya tarikan
pelancong. Paling dekat dengan kita,
sungai-sungai di kota Singapura juga bersih, biarpun kadar urbanisasinya lebih
pesat di sana.
Di
negara Eropah, mereka sepakat mengadakan kempen ‘European Framework Directive’
yang menetapkan sasaran bagi membaik pulih semua sungai di Eropah sehingga
mencapai tahap piawaian yang seragam.
Penglibatan
orang ramai secara sukarela atas dasar kesedaran dalam usaha memulihara sungai
dapat memberi kesan baik jangka panjang. Kesedaran ini dapat membentuk satu ‘kebiasaan’, yang kemudiannya menjadi
satu budaya yang diikuti semua orang.
No comments:
Post a Comment