Setiap kali musim hujan, satu perkara
yang perlu diingatkan kepada semua ialah soal keselamatan diri dan keluarga. Banjir
adalah bencana yang tidak boleh dianggap perkara mudah. Biarpun kejadian banjir
berlaku setiap tahun, namun keadaan banjir sentiasa berubah-ubah dari segi
kedalaman dan perkara-perkara lain yang tidak diduga.
Sebab itu, diingatkan agar semua
penduduk yang tinggal di kawasan yang mudah dilanda banjir lebih berhati-hati
berdepan dengan musim hujan. Banjir bukan sahaja mengubah aktiviti harian,
tetapi mungkin juga boleh mendatangkan kecelakaan kehilangan harta benda dan
nyawa.
Antara kecelakaan yang kerap
dilaporkan media ialah kejadian mati lemas melibatkan remaja dan kanak-kanak.
Ketika kebanyakan berita melaporkan mengenai pemindahan mangsa banjir dan
bantuan dihulurkan pihak berkenaan, akan terselit berita mengenai kematian
remaja atau kanak-kanak.
Kalau tragedi itu berlaku disebabkan
satu malapetaka yang tidak boleh dielakkan atau menjadi mangsa keadaan yang
terpaksa dihadapi, kita boleh menerimanya sebagai takdir.
Namun, amat malang apabila kebanyakan
kejadian lemas berlaku melibatkan remaja dan kanak-kanak disebabkan kecuaian ibu
bapa mengawal atau membiarkan anak bermain air tanpa kawalan.
Kanak-kanak memang suka bermain air.
Itu sifat semulajadi. Amat jarang kita dapati kanak-kanak tidak suka bermain
air. Sebab itu, kanak-kanak akan mengambil peluang untuk bermain hujan
semahunya pada musim banjir. Lebih seronok lagi jika bermain bersama
kawan-kawan.
Mungkin jika sekadar bermain air hujan
di laman rumah yang tiada kawasan air bertakung atau parit laluan air deras,
perkara itu boleh diterima. Kalau begitu, kita boleh katakan biarkan sahaja.
Paling teruk kesan bermain hujan adalah deman.
Namun, dalam keadaan teruja,
kanak-kanak mungkin keluar bermain di tempat lebih jauh atau kawasan air dalam
dan deras. Di sinilah wujudnya bahaya tidak tidak disangka. Kanak-kanak tidak
dapat menjangka tentang bahaya bakal berlaku.
Kebiasaanya tragedi yang berlaku ialah
bukan kerana berenang atau berada di dalam air. Kejadian tergelincir dan
terjatuh di dalam parit, sungai atau tempat dalam mengakibatkan kemalangan
jiwa. Keadaan itu berlaku disebabbkan ingin mengambil selipar yang terjatuh atau
perkara yang lain yang membawa kepada diri tergelincir dan disebabkan tidak
pandai berenang, terus menjadi mangsa lemas.
Untuk mengelak semua perkara itu, Ibu
bapa mesti bertegas melarang anak masing-masing bermain air, tidak kira di
kawasan air cetak atau nampak tidak berbahaya. Lebih-lebih lagi jika pergi jauh
dari kawasan rumah. Cukuplah kalau ingin berhujan sekadar di laman rumah.
Ibu bapa tidak seharusnya leka dan
ambil mudah mengawasi anak-anak pada musim hujah biarpun anak mereka pandai
berenang.
Tragedi lemas boleh terjadi pada musim
hujan disebabkan keadaan laluan air yang deras atau keadaan tidak diduga
seperti aliran elektrik di dalam air, serangga berbisa dan benda tajam.
Pandai berenang bukan alasan untuk
bermain air banjir kerana malang tidak berbau dan tidak mengenal mangsanya.
Keadaan banjir tidak dapat diduga kerana ia mungkin berlaku di luar kebiasan
tahun-tahun sebelumnya.
Musim banjir bukan masa untuk
berpesta, sebaliknya perlu berwaspada dan berhati-hati mengelak sebarang
kemungkinan tragedi yang mungkin berlaku. Amat malang penduduk
menjadikan musim banjir sebagai pesta. Mereka akan beramai-ramai menuju atau
meninjau kawasan air, terutama jalan raya yang ditenggelami air.
Gambar yang ditularkan di dalam media
sosial menarik minat untuk mereka turut berada di situ. Dan mereka sendiri pula
akan mengambil gambar untuk ditularkan pula kepada orang lain.
Media sosial sepatutnya digunakan
untuk memberi amaran dan peringatan akan mengambil langkah keselamatan apabila
banjir berlaku di sesuatu kawasan.
Penduduk perlu mematuhi setiap arahan
berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak keadaan bertambah buruk
jika berpindah pada saat-saat akhir yang mana keadaan sudah begitu
berbahaya.
No comments:
Post a Comment