Syaitan sentiasa mendampingi orang
bakhil dengan membisikkan rasa kecintaan yang keterlaluan terhadap
harta. Sebab itu si bakhil merasakan orang di sekelilingnya sentiasa
ingin merampas harta miliknya.
Si bakhil terlalu berat hati untuk
bersedekah biarpun dalam jumlah yang kecil. Tetapi dia merasakan
satu kebanggaan membelanjakan sejumlah besar wangnya untuk bersuka ria dan
melakukan sesuatu yang meletakkan dirinya dipandang hebat berbanding orang lain.
Ada individu yang bersedekah kerana
ingin mendapat publisiti. Acara menyerahkan sedekah dihebohkan
melalui media massa agar banyak orang mengetahuinya. Sedekah yang
sedemikian sebenarnya tidak layak dipanggil sedekah tetapi hanya satu sumbangan
biasa atau 'bayaran' untuk mendapat publisiti.
Si bakhil yang tertutup hatinya
daripada sinar keimanan bukan sahaja tidak mahu bersedekah bahkan menafikan
hukum wajib zakat. Mengeluarkan zakat harta adalah wajib
dilaksanakan sebagai Rukun Islam.
Si bakhil yang tidak mahu mengeluarkan
zakat adalah sikap yang diwarisi daripada Qarun yang menolak perintah Allah
agar dirinya mengeluarkan zakat sekiranya masih ingin menjadi sebahagian
pengikut Nabi Musa.
Qarun membantah perintah mengeluarkan
zakat kerana mengaku segala kekayaan yang dimiliki adalah hasil
kebijaksanaannya. Sebagai balasannya seluruh kekayaan dan diri Qarun sendiri
ditelan tenggalam ke dasar bumi.
Syaitan menjadi kawan rapat si bakhil
untuk melahirkan rasa takut membelanjakan kekayaan ke jalan Allah.
Firman-Nya: “Syaitan menakut-nakutkan
kamu, kalau-kalau kamu akan menjadi miskin dan menyuruh kamu melakukan
kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 219).
Kekayaan hanya mendatangkan manfaat
jika dibelanjakan ketika hayat masih ada. Tidak ada orang membawa
kekayaan sehingga ke alam akhirat. Kekayaan itu perlu digunakan
dengan cara bersedekah atau digunakan ke jalan Allah sebagai bekalan di
akhirat.
Allah menjadikan golongan kaya dan
miskin dengan hikmah-Nya. Firman Allah: “Dan Allah telah melebihkan
sebahagian kami daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” (Surah
al-Nahl, ayat 71).
Kita perlu sedar realiti kehidupan
yang mana kedua-dua golongan kaya dan miskin saling
memerlukan. Golongan kaya mendapat harta dengan menggunakan tenaga
orang miskin (secara relatif) sebagai buruh. Manakala golongan
miskin pula mendapat upah atas khidmat yang diberikan.
Sekiranya semua orang memiliki
kekayaan yang sama dan tidak lagi mengharapkan upah daripada orang lain, tidak
ada individu yang sanggup melakukan kerja untuk orang lain. Ketika itu,
kekayaan tidak mempunyai apa-apa erti lagi.
No comments:
Post a Comment