Ketokohan
seorang pemimpin dapat dilihat dari segi kemampuannya memegang amanah dan
disukai rakyat. Keadaan itu hanya dapat dicapai jika pemimpin itu benar-benar
mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat dan ia penting untuk mengetahui
apa yang sebenarnya diperlukan rakyat.
Jika
ada pemimpin yang sangat berkira untuk menemui rakyat, apatah lagi yang berada
dalam kesusahan, maka pemimpin itu bukanlah pemimpin boleh menyampaikan nasihat
kerana tidak mampu menyesuaikan diri.
Perlu
diingat bukan semua rakyat memerlukan bantuan kerajaan atau pemimpin,
kadangkala mereka hanya ingin melihat pemimpin menjenguk muka dan ambil peduli.
Mereka bangga dilawati pemimpin biarpun sekadar disampaikan sedikit sumbangan.
Pemimpin
yang menemui rakyat di peringkat bawah tidak akan hilang wibawa atau kedudukan.
Seperti kata pepatah, tidak hilang bisa ular menyusur akar. Watak dan ketokohan
pemimpin semakin dipandang tinggi dengan sikap selalu menemui rakyat.
Melalui
lawatan, pemimpin dapat mengetahui keadaan sebenar apa dialami rakyat. Rakyat
berkesempatan untuk menyampaikan atau berkongsi pandangan dalam urusan yang
berkaitan secara langsung dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Pemimpin
berkhidmat untuk rakyat. Maka itu pemimpin perlu mendekati rakyat untuk
mengetahui apa diingini rakyat. Turun padang menemui rakyat adalah aspek
penting yang perlu diamalkan setiap pemimpin.
Sehebat
manapun seorang pemimpin, yang memilihnya adalah rakyat yang dilakukan melalui
peti undi. Jadi, dampingilah rakyat sepanjang masa, dan bukannya hanya pada
masa kempen pilihan raya.
No comments:
Post a Comment