Kita
sudah biasa dengan perkataan cerpen iaitu singkatan 'cerita pendek' biarpun
kini cerpen semakin tidak dikenali. Ruangan cepen yang dahulunya terdapat di
setiap akhbar dan majalah, kini semakin hilang. Panjang cerpen biasanya hanya
di antara 1500 hingga 2500 patah perkataan.
Sekarang
wujud pula satu perkataan iaitu 'certot' singkatan kepada 'cerita kontot'. Kamus
Dewan menjelaskan atau mendefinisikan 'kontot' tidak panjang atau pendek. Istilah
atau perkataan certot timbul dari pertandingan cerita-cerita kontot sempena
Hari Kebangsaan ke-61 negara kita.
Dengan
bersangka baik, aku rasa mengapa digunakan perkataan certot kerana karangan
yang buat itu tidak boleh melebihi 200 patah perkataan. Memang pendek betul tu.
Memang tidak panjang. Ia jauh lebih pendek berbanding dengan cerpen.
Agaknya,
certot lebih elok untuk menarik ramai penyertaan kerana sekarang ini tidak
ramai orang suka menulis panjang. Segala bentuk perkataan ingin diringkaskan.
Kalau minta penyertaan dengan 1000 patah pekataan, rasanya hanya mereka yang
berstatus penulis novel dan skrip filem sahaja yang akan menyertainya.
Diharapkan
certot yang ditulis nanti tidaklah pula tergantung maksudnya. Biar sampai apa
yang hendak disampaikan kepada pembaca. Susun ayat perlu dipadatkan dan tidak
menggunakan perkataan yang berbunga. Kata orang terus kepada maksudnya.
Biar
betul-betul kontot dan tidak perlu orang membaca panjang-panjang yang hanya
akan merugikan masa.
Karangan
di atas berjumlah 199 patah perkataan. Itulah karangan yang perlu dikarang
untuk menyertai certot. Tidak boleh melebihi 200 patah perkataan. Tidak pula
dinyatakan bilangan minimun patah perkataan yang perlu dikarang. Jadi, jika
tidak mahu berfikir panjang atau tidak ada masa, bolehlah dikarang sekadar satu
perenggang sahaja atau sekadar 50 patah perkataan. Itu baru betul-betul certot.
Dalam satu
kenyataan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menyeru rakyat untuk
bersama-sama menyuburkan rasa cinta dan bangga menjadi warganegara Malaysia
melalui penulisan dan mengibarkan Jalur Gemilang.
"Luahkan rasa cinta dan terjemahkanlah sikap patriotisme anda. Negara ini negara kita. Tanah tumpah darah dan keringat kita.
"Sejauh mana pun kita mengembara, kita tetap seperti burung gagak pulang ke benua (tak berubah rupa paras asal walau sudah lama merantau). Tidak lain tidak bukan kerana kita orang Malaysia," kata Dr. Maszlee.
Certot yang ditulis perlu bertemakan Sayangi Malaysiaku dan tidak melebihi 200 patah perkataan.
"Luahkan rasa cinta dan terjemahkanlah sikap patriotisme anda. Negara ini negara kita. Tanah tumpah darah dan keringat kita.
"Sejauh mana pun kita mengembara, kita tetap seperti burung gagak pulang ke benua (tak berubah rupa paras asal walau sudah lama merantau). Tidak lain tidak bukan kerana kita orang Malaysia," kata Dr. Maszlee.
Certot yang ditulis perlu bertemakan Sayangi Malaysiaku dan tidak melebihi 200 patah perkataan.
Catatan tambahan (28-08-2018):
Setelah dikencam
penggunaan perkataan 'certot' Dr Maszlee Malik telah memuat naik kenyataan
memohon maaf melalui laman Facebook miliknya. Berikut merupakan catatan dan
penjelasan beliau terhadap perkataan "certot" yang merujuk kepada
cerita kontot yang mana jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah
perkataan.
Catatan Dr Maszlee:
Saya memohon maaf kerana
pengumuman berkenaan peraduan "certot" terpaksa dibuat semula
disebabkan beberapa pengguna Facebook dengan akaun palsu telah membuat laporan
di Facebook berkaitan "post" tersebut. Bertungkus-lumus benar mereka
mahu menyekat aktiviti-aktiviti yang Pihak Kementerian anjurkan. Alangkah
bagusnya jika kesungguhan itu dimanfaatkan bagi membantu membangunkan negara
kita.
Di sini saya juga ingin
menegaskan bahawa perkataan "certot" tidak membawa sebarang konotasi
tidak baik. Penggunaan akronim ini juga tidak menjadi kesalahan. Akronim ini
saya ambil hasil bacaan saya melalui karya-karya sasterawan negara, khususnya
SN Othman Puteh di dalam bukunya Teori Penulisan Kreatif. Jika hendak
diikutkan, banyak lagi perkataan-perkataan baru yang dicipta oleh
pengarang-pengarang tempatan tetapi masih tidak diwartakan di dalam kamus
dewan.
Kenapa tidak menggunakan
perkataan "cerpen"? Profesor Emeritus Abu Bakar Hamid menjelaskan
bahawa definisi cerpen ialah cerita pendek yang jumlah perkataannya mesti
melebihi 500 patah perkataan. Strukturnya mesti kemas dan sempurna. Saya
menggunakan akronim (portmanteau) certot yang merujuk kepada cerita kontot yang
jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah perkataan. Saya mahu ia santai
dan memudahkan kerana saya tahu, tidak semua rakyat Malaysia mampu menghasilkan
sebuah cerpen. Tetapi semua rakyat Malaysia mampu menterjemahkan rasa cinta
mereka terhadap negara.
Bahasa tidak seharusnya
bersifat statik sebaliknya berevolusi. Saya membaca karya-karya Shahnon Ahmad
dan Azizi Haji Abdullah dahulu. Banyak istilah utara yang diperkenalkan oleh
mereka berdua dan kemudiannya baru diwartakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
seperti istilah "menerung", "pongah", "kelepiar",
"sereyat". Setiap perkataan membawa taksa budaya dan adat setempat.
Istilah yang digunakan di utara berbeza dengan istilah yang digunakan di pantai
timur. P. Ramlee pernah mempopularkan perkataan "kugiran" bagi frasa
kumpulan gitar rancak. Perkataan itu akhirnya dibakukan. Begitulah evolusi
bahasa berlaku.
Pembinaan kamus dibuat
melalui rakaman penggunaan dalam korpus. Maka, setiap kewujudan perkataan baru
ditentukan kegunaannya oleh masyarakat. Sekiranya perkataan itu popular dan
meluas digunakan, ia akan dimasukkan ke dalam kamus dewan. Misalnya, perkataan
"ori" pernah menjadi kontroversi kerana ia dibahaskan di Parlimen
pada tahun 1996, akhirnya dimasukkan ke dalam Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai
Bahasa Percakapan. Sekarang DBP sedang berusaha menyiapkan manuskrip kamus
terbesar yang akan mengumpulkan semua perkataan-perkataan baru termasuklah
perkataan-perkataan yang meluas digunakan di media sosial seperti perkataan
"trending" yang telah diterjemahkan kepada "sohor kini".
Marilah kita sama-sama menggunakannya.
Saya menerima dan
mendengar semua kritikan tetapi saya fikir, pengkritik yang baik ialah
pengkritik yang menggunakan laras bahasa yang baik. Kegagalan berbahasa dengan
bahasa yang baik mahupun tidak bersetuju kepada sesuatu perkara berpunca
daripada masalah sikap dan perangai. Bahasa menterjemahkan sikap dan perangai
kita. Rosak bahasa bermaksud rosak perangai. Pendidikan yang baik bermula
daripada penggunaan bahasa yang baik. Kita semua harus bergerak ke arah itu.
Marilah kita sama-sama
menyemai semula budi yang sudah mengalir sejak turun-temurun dalam bebuluh
darah keturunan kita. Hari ini orang mengenali bangsa Malaysia ialah bangsa
yang berbudi dan hormat-menghormati, usahlah rosakkan anggapan itu. Berdebat
dan berbincanglah sepanjang mana pun, tetapi usah sesekali melanggar pagar
budi. Pepatah mengatakan, hilang bahasa, hilanglah bangsa.
Akhir sekali, saya
berterima kasih kepada semua yang berusaha memeriahkan usaha Pihak Kementerian
demi melestarikan sikap cintakan negara kepada semua rakyat Malaysia, dan saya
mahu menyarankan rakyat Malaysia membaca sebuah buku yang ditulis oleh Pendeta
Zaba, judulnya "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri."
Dr
Maszlee Malik
Menteri
Pendidikan Malaysia
No comments:
Post a Comment