Semangat
sukarelawan dan pengorbanan tidak dapat dipisahkan. Sukarelawan bersedia
melakukan tugas tanpa mengharapkan balasan dari segi kewangan atau upah. Inilah
semangat pengorbanan yang menjadi teras pegangan dan kepercayaan mereka yang
terlibat dalam kesukarelawan.
Tanpa mengira waktu, tidak kisah tentang siapa
yang dibantu dan di mana mereka berada, khidmat sukarela dicurah lebih ikhlas
dan bersemangat berbanding mereka yang mendapat upah. Tahniah semua
sukarelawan.
Untuk
entri kali ini, ambo salin dan tampal catatan di Facebook Nik Mustakim Yusoff,
seorang sukarelawan di Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan. Beliau
telah menyumbang khidmat bakti secara sukarela melalui Bulan Sabit Merah sejak
lebih 20 tahun lalu.
Baca
catatan beliau:
Selamat
pagi semua.
Tak
sempat nak berkongsi aktiviti Raya Korban hari pertama sebab ini pengalaman
pertama berada di Wound Care Clinic HRPZ pada hari bukan bekerja bersama Dr Zurairie Dyeela..
Pagi
tadi saya dah 'korbankan' waktu solat Sunat Aidiladha sebab bas yang bawa
'maggot' lambat sampai. Sepatutnya sampai jam 5.30 pagi, tapi sampai jam 8.30
pagi sebab kesesakan cuti sekolah dan cuti raya.
Selesaikan
urusan ibadah korban bersama keluarga sehingga tengah hari. Jam
3.00 petang, sampai di Wound Care Clinic HRPZ bersama Abe Lan. Apabila
sampai di sana, macam biasa, tuan doktor sedang merawat pesakit yang datang
lebih awal bersama isteri beliau.
Saya
ingatkan hanya Abe Lan sahaja pada hari ini, tetapi ada lagi yang lain dan
semuanya adalah pesakit yang teruk-teruk yang kalau dibiarkan sepanjang cuti
akan memudaratkan. Pesakit-pesakit yang bukan berbangsa Melayu dan beragama
Islam pun mungkin pelik melihat doktor bertugas hari ni yang tanpa sebarang bayaran.
Tengok
pada keadaan di luar yang menunjukkan hari nak hujan, maka diberikan keutamaan
kepada pesakit beliau yang tinggal di Pulau Suri walaupun datang selepas Abe
Lan.
Saya
diminta untuk membantu doktor untuk kes ini kerana isterinya yang membantunya
sejak jam 2.00 petang sudah kepenatan. Tapi doktor tiada pilihan.
'Kali pertama pengalaman dalam bidang perubatan ini kerana saya banyak terlibat dengan
projek banjir dan aktiviti khidmat masyarakat.
Ini
kali kedua bertemu dengan adik ini yang tinggal di Pulau Suri. Kali pertama
bertemu, hanya Allah yang tahu perasaan saya pada masa itu. Umur saya dengan
dia tidak jauh beza, tetapi jika melihat pada keadaan semasa beliau, saya pasti
semua akan terkejut. Kakinya hanya tinggal tulang sahaja dan hampir dipotong.
Alhamdulillah, beberapa kali rawatan, sudah menampakkkan tindakbalas yang baik
iaitu isinya dah semakin naik.
Pengalaman
ini tidak dapat dijual beli. Yang dapat dikongsikan hanyalah kepentingan
menjaga luka & mendapatkan rawatan daripada mereka yang ahli sahaja. Ini
kerana jika tersilap langkah, kesan & risiko kepada pesakit amat tinggi.
Saya
bersyukur dapat belajar secara langsung daripada tuan doktor. Menjaga adat
& peraturan di bilik pesakit, mengenali alatan & keperluan untuk
merawat pesakit.
Alhamdulillah,
luka Abe Lan semakin pulih. Sudah nampak akan perubahan pada rawatan yang ke -
3 ini. Kerjasama antara doktor dan pesakit amat penting dalam mencapai tujuan
yang sama.
Pelbagai
soalan dan jawapan diberikan di antara kami. Masa macam ni la nak ambil apa
yang boleh. Faham atau tidak, kita rujuk pula nanti.
Alhamdulillah,
lebih kurang jam 8.30 malam, selesai pesakit yang terakhir pada hari cuti Raya
Korban ini.
Masuk
petang, keluar malam rupanya. Waktu berlalu terlalu cepat apabila berada di
dalam klinik. Siang bertukar malam, tanpa kami sedari. Tetapi, pengalaman hari
ini, insya-Allah akan kekal di memori saya hingga akhir hayat.
Hanya
Allah SWT yang dapat membalas pengorbanan doktor dan semoga keikhlasan
dan kecintaan kepada tugas seperti ini menjadi contoh kepada kita semua.
Terasa
kepenatan beraksi pada hari ini walaupun hanya sebagai pembantu. Pengorbanan
masa cuti bersama keluarga, cuti raya, rehat di rumah semuanya dilupakan. Apa
yang penting, tanggungjawab & amanah bagi merawat pesakit-pesakit ini.
Senyuman dan ucapan terima kasih adalah pembakar semangat untuk terus melaksanakan
tugas istimewa ini. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment