Thursday, 23 August 2018

Episod kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia

Sejarah mencatatkan kegemilangan Islam di rantau Eropah atau Barat. Tersebut satu empayar besar lagi gah iaitu Andalusia yang dahulunya masyhur di bawah naungan Islam. Bahkan Kristian dan Yahudi juga hidup aman dan bahagia di bawah pemerintahan Islam dengan hanya membayar jizyah. Namun hancur musnah dengan mudah dek kelemahan di pihak umat Islam itu sendiri. 

Pada hari ini, jika kita memyelusuri kota Andalusia, yang tinggal hanya bekas-bekas masjid yang telah ditukar menjadi gereja. Kejatuhan Kerajaan Islam Andalus pada tahun 1492M.

Ungkapan penuh pengajaran oleh ibu kepada Sultan Abu Abdullah, pemerintah Islam terakhir di Andalusia yang menangis teresak-esak sambil memandang penuh kesayuan keindahan Istana Al-Hambra dari jauh yang kini hanya tinggal kenangan.

“Apabila engkau gagal mempertahankan negaramu, sedangkan dahulu kau adalah seorang tentera yang gagah dan berani. Kini, apa gunanya engkau menangis seperti seorang wanita?”

Sultan Abu Abdullah dan ahli keluarganya ketika itu dalam perjalanan melarikan diri ke Afrika Utara setelah gagal mempertahankan kerajaan mereka di Granada. Pada saat itu juga kegemilangan Islam di Andalusia rebah dan beberapa ketika lagi, majlis perarakan pasangan Raja Ferdinand V dan Isabella untuk memasuki Istana Al-Hambra akan dilangsungkan.

Saat kegemilangan Andalusia di bawah pemerintahan Islam sudah tiada. Kini hanya tinggal sejarah! Sejarah untuk dikenang, sejarah untuk dijadikan pengajaran dan sejarah yang hanya tinggal sejarah. Ramai yang tidak mengetahui betapa Andalusia dahulu begitu istimewa dan begitu unik.

Andalusian semasa pemerintahan Islam berjaya mencipta kegemilangan yang menakjubkan. Pada masa Eropah dilanda Zaman Gelap tetapi Andalusia terus bersinar dengan kemajuan dan kegemilangan yang dibawa oleh Islam. Sehinggakan ada sejarawan mengatakan bahawa Andalusialah yang telah mencetuskan Zaman Renaissance di Eropah. Jika tidak kerana Andalusia, nescaya Eropah akan terus berada di Zaman Kegelapan.

Namun kini, hanya tangisan yang bergema bila mengenangkan Andalusia. Bilakah ianya akan kembali ke tangan Islam? Hanya Allah yang mengetahui namun dengan kekuasaan-Nya, tiada yang mustahil!

Sejarah kejatuhan Andalusia hasil perancangan Ferdinand dan Isabella, daripada dua kerajaan yang kuat di Sepanyol, berkahwin dan membentuk satu kerajaan yang jauh lebih besar dan hebat. Perkahwinan mereka bervisikan untuk merampas empayar Islam di Andalusia.

Pada ketika orang Kristian bersatu dan berpadu tenaga untuk mengalahkan kerajaan Islam, lain pula kisahnya di pihak Islam. Mereka saling bertelagah dan berpecah, merebut kuasa. 

Perpecahan di kalangan umat Islam digunakan sebaiknya oleh pihak Kristian Sepanyol, mereka menawarkan bantuan kepada khalifah untuk mengalahkan ahli keluarganya sendiri. 

Akhirnya khalifah menang, namun yang tinggal padanya hanya kota Granada, sedang wilayah-wilayah lain semua jatuh ke tangan Ferdinand dan Isabella. 

Khalifah sangkakan, Ferdinand dan Isabella akan biarkan beliau untuk memerintah dan mentadbir kota Granada, namun beliau silap. Rupanya beliau hanya dipergunakan oleh mereka untuk memudahkan laluan Kristian sepanyol menguasai Andalusia. 

Ferdinand, Isabella dan barisan tentera mereka mengepung kota Granada dan memaksa Khalifah menyerahkan Granda kepad mereka. Kerana tidak mampu untuk bertahan, khalifah akur. Kunci Granada diserahkan, bersama perjanjian bahawa Kerajaan Kristian Sepanyol akan menjaga hak dan kebajikan umat Islam. 

Tidak sampai setahun, perjanjian itu dilupuskan. Umat Islam dipaksa memeluk Kristian, atau mereka akan diseksa secara perlahan-lahan sehingga ajal menjemput. Itulah tragedi yang menimpa negara Islam.

No comments:

Post a Comment