Tempoh
Pertama (711 M-755 M)
Selepas Sepanyol dibebaskan oleh Tariq Bin Ziad, Musa Bin
Nusair bersama bala tenteranya. Tanah tersebut telah diberi nama Andalusia yang
bermaksud ‘tanah bangsa Vandals’. Andalusia diisytiharkan sebagai salah satu
wilayah di bawah kekuasaan Kerajaan Bani Umayyah yang berpusat di Damsyik.
Sepanjang tempoh ini, Andalusia diperintah oleh beberapa
orang gabenor yang dilantik oleh Khalifah Bani Umayyah. Pada tempoh ini,
kestabilan politik Andalusia masih belum kukuh lagi. Pelbagai ancaman daripada
kuasa luar dan pergolakan dalaman menjejaskan kestabilan politiknya.
Pergolakan dalaman antaranya disebabkan perselisihan faham
antara golongan penguasa akibat daripada perbezaan etnik dan bangsa. Di samping
itu, berlakunya perbalahan di antara Gabenor Afrika Utara yang berpusat di
Qairawan dengan khalifah di Damsyik. Masing-masing mengakui bahawa merekalah
yang lebih berhak ke atas tanah Andalusia ini.
Disebabkan itu, hampir 20 kali gabenor Andalusia ditukar dan
diganti dalam waktu yang singkat. Perbezaan politik ini juga menyebabkan
seringnya berlaku perang saudara. Hal ini disebabkan perbezaan etnik dan bangsa
di antara bangsa Barbar di Afrika Utara dan bangsa Arab. Perkara ini sering
menimbulkan konflik politik antara satu sama lain. Disebabkan inilah Andalusia
pada saat itu tiada gabenor yang mampu mempertahankan kekuasaannya untuk tempoh
waktu yang lama.
Gangguan daripada luar pula disebabkan orang-orang Kristian
yang tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Islam setelah gagal mempertahankan
bumi mereka. Kristian di kawasan pedalaman dan pergunungan sentiasa memberi
ancaman kepada pemerintahan Islam ketika itu.
Disebabkan konflik dalaman dan luaran ini, Andalusia masih
lagi belum melalui zaman pembangunan kebudayaan dan peradabannya. Zaman ini
berakhir setelah kedatangan Abdul Rahman Ad-Dakhil.
Tempoh
Kedua (755 M-912 M)
Dalam tempoh ini, Andalusia berada di bawah pemerintah yang
mengguna gelaran amir iaitu Abdul Rahman Ad-Dakhil. Beliau enggan tunduk kepada
pemerintahan pusat kerajaan Islam ketika itu iaitu Kerajaan Bani Abbasiah yang
berpusat di Baghdad menjadikan Andalusia adalah sebuah kerajaan Islam yang
berdiri sendiri.
Abdul Rahman Ad-Dakhil berketurunan Bani Umayyah yang berjaya
melarikan diri daripada dibunuh oleh keluarga Bani Abbas yang telah menjatuhkan
Kerajaan Umayyah di Damsyik lalu mendirikan Kerajaan Islam Bani Abbasiah.
Bermula dari itu, beliau telah berjaya mendirikan semula Kerajaan Bani Umayyah
yang berpusat di Cordoba, Sepanyol.
Antara pemerintah-pemerintah pada tempoh masa ini adalah
Abdul Rahman Ad-Dakhil, Hisyam 1, Hakim 1, Abdul Rahman Al-Ausath, Muhammad Bin
Abdul Rahman dan beberapa nama lagi.
Pada tempoh ini, peradaban dan kemajuan Andalusia mulai
bersinar terang. Sekolah-sekolah didirikan pada zaman Abdul Rahman Ad-Dakhil.
Pada pemerintahannya juga Masjid Cordoba telah dibina. Ketika
itu Masjid Cordoba merupakan masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidil
Haram. Amir Hisyam 1 pula terkenal dengan jasanya dalam menegakkan hukum Islam
manakala Amir Hakam 1 pula telah memperkuatkan dan memperkemaskan bidang
ketenteraan Kerajaan Bani Umayyah Andalusia. Amir Abdul Rahman Al-Ausath pula
seorang pencinta ilmu.
Falsafah berkembang dengan begitu pesat sekali pada zaman ini
terutama pada zaman Amir Abdul Rahman Al-Ausath. Beliau telah mengundang dan
menjemput ramai para ilmuan Islam datang ke Andalusia sehingga menjadikan
bidang keilmuan di Andalusia ketika itu setanding dengan Kerajaan Bani Abbasiah
di Baghdad.
Walaubagaimanapun, kerajaan ini tetap tidak terlepas daripada
gangguan daripada luar yang cuba menggugat kestabilan politiknya. Pada
pertengahan abad ke-9, munculnya gerakan kristian fanatik yang cuba berjuang
merampas kembali Andalusia daripada tangan pemerintahan Islam.
Namun, gerakan itu tidak mendapat sambutan oleh gereja-gereja
kristian di Andalusia kerana mereka lebih menyukai pemerintahan Islam yang
memberi kebebasan kepada agama lain Penduduk Kristian juga dibenarkan
melaksanakan undang-undang mereka terhadap penganut agama mereka sendiri.
Mereka juga tidak dihalang daripada berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Hal
ini menyebabkan pemerintahan Islam semakin disenangi oleh penganut agama
kristian.
Tempoh
Ketiga (912 M-1013M)
Tempoh ini bermula ketika pemerintahan Abdul Rahman III yang
juga digelar An-Nasir. Pada tempoh ini, para pemerintah Andalusia telah
menggunakan gelaran khalifah. Penggunaan gelaran tersebut adalah disebabkan
khalifah Kerajaan Bani Abbasiah ketika itu, Khalifah Al-Muktadir mati akibat
dibunuh oleh pengawalnya sendiri. Abdul Rahman III berpendapat bahawa saat
inilah merupakan saat yang paling sesuai untuk memakai gelaran khilafah yang
telah hilang daripada kekuasaan Bani Umayyah selama lebih 150 tahun.
Khalifah-khalifah besar yang memerintah pada tempoh ini ialah Abdul Rahman II,
Hakam II dan Hisyam II.
Pada tempoh ini juga, Andalusia mencapai puncak kemajuan dan
kejayaan menyaingi Kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad. Khalifah Abdul Rahman III
telah mendirikan Universiti Cordoba. Perpustakaannya memiliki ratusan ribu
buku. Khalifah Hakam II juga seorang pencinta ilmu yang telah mengumpul banyak
buku-buku dan karya di perpustakaannya. Pada masa ini, masyarakat Andalusia
dapat menikmati kesejahteraan dan kemakmuran yang maksimum. Kota juga semakin
pesat membangun.
Fasa awal kejatuhan Kerajaan Bani Umayyah di Andalusia adalah
ketika Khalifah Hisyam menaiki takhta dalam usia cukup muda iaitu 11 tahun.
Oleh itu, kekuasaan sebenar jatuh ke tangan menteri khalifah. Akhirnya, pada
tahun 981 M. khalifah telah memberikan kuasa kepada Ibn Abi Amir menjadikan
beliau pemegang kuasa secara mutlak. Khalifah Ibn Abi Amir seorang yang
bercita-cita tinggi. Beliau berhasil mengukuhkan kekuasaannya dan melebarkan
wilayah dengan menyingkirkan saingan-saingannya. Disebabkan itu, beliau
mendapat gelaran Al-Mansur Billah Shah.
Khalifah Ibn Abi Amir akhirnya meninggal dunia pada tahun
1002 M dan digantikan oleh anaknya, Al-Muzaffar. Khalifah Al-Muzaffar masih
dapat mempertahankan Kerajaan Bani Umayyah daripada pelbagai ancaman dari luar
dan dalam. Akan tetapi, setelah beliau mati pada tahun 1008 M, beliau
digantikan oleh adiknya yang lemah dan gagal mempertahankan kedaulatan Kerajaan
Bani Umayyah.
Ketika ini juga iaitu pada tahun 1009 M, pihak Kristian
memulakan gerakan yang dipanggil Re Conquista yang bertujuan untuk merampas
kembali tanah Andalusia daripada kekuasaan muslim. Akhirnya, setelah beberapa
tahun Andalusia dilanda kekacauan dan masalah, pada tahun 1009 M, khalifah
mengundurkan diri. Pada tahun 1031 M, Dewan Menteri akhirnya menghapuskan
jabatan khalifah dan berakhirlah pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah di
Andalusia.
Tempoh
Keempat (1013 M-1086M)
Tempoh masa ini dikenali sebagai Al-Muluk At-Tawaif yang
bermaksud kerajan-kerajan bersendiri. Andalusia telah berpecah kepada 30 negara
kecil yang berpusat di pelbagai kota seperti Cordoba, Sevilla, Toledo dan
lain-lain lagi. Pada ketika ini, umat Islam di Andalusia mengalami pertikaian
yang sengit antara satu sama lain untuk menjadi penguasa tunggal di bumi
tersebut.
Peperangan sering berlaku antara satu sama lain sehingga ada
pemerintah yang meminta bantuan kristian demi pangkat dan harta. Kelemahan dan
kekacauan yang berlaku menyebabkan orang-orang kristian mengambil peluang dan
menguatkan bala tenteranya dan menyerang kerajaan-kerajaan yang lemah.
Persaingan bukan setakat merebut wilayah kekuasaan. Malah, persaingan
intelektual turut berlaku antara satu sama lain. Hal ini menjadikan keilmuan
terus berkembang pada zaman ini walaupun dalam keadaan politik yang tidak
stabil.
Tempoh
Kelima (1086 M-1248M)
Meskipun Andalusia masih berpecah dalam beberapa kerajaan,
tetapi terdapat satu kerajaan yang besar dan kuat serta menguasai sebahagian
besar wilayah Andalusia iaitu Kerajaan Murabbitun (1086 M-1145 M) dan Kerajaan
Muwahhidun (1146 M-1235 M).
Kerajaan Murabbitun pada asalnya sebuah gerakan agama yang
dipimpin oleh Yusuf Ibn Tashfin di Afrika Utara. Pada tahun 1062 M, sebuah
kerajaan didirikan yang berpusat di Morocco. Kerajaan ini mula menawan
Andalusia disebabkan undangan penguasa-penguasa Islam disana yang mulai
tertekan akibat serangan demi serangan yang perlu dihadapi daripada pihak
kristian.
Yusuf Ibn Tashfin memasuki Andalusia pada 1086 M setelah
dijemput oleh seorang putera kerajaan islam ketika itu untuk mempertahankan
mereka daripada serangan Alfonso VI, raja kerajaan Leon dan Castilia.
Dalam peperangan yang bernama Perang Az-Zallaqah itu, tentera
pimpinan Yusuf Ibn Tashfin telah mencapai kemenangan. Bertitik tolak daripada
peperangan tersebut, Yusuf Ibn Tashfin terus meluaskan wilayahnya di Andalusia
dan akhirnya, Andalusia menjadi sebahagian daripada wilayah Kerajaan
Murabbitun.
Kerajaan Murabbitun telah mengiktiraf kekhilafahan Kerajaan
Bani Abbasiah yang berpusat di Baghdad menjadikan Andalusia sebagai salah
sebuah wilayah Islam dibawah Khilafah Bani Abbasiah. Namun, pengganti pemerintahan
Kerajaan Murabbitun selepas Yusuf Ibn Tashfin adalah pemerintah yang lemah.
Akibatnya, Zaragoza telah jatuh ke tangan Kristian pada tahun 1118 M. 1143 M,
kekuasaan kerajaan ini berakhir dan digantikan dengan Kerajaan Muwahhidun yang
juga berpusat di Afrika Utara. Kerajaan ini diasaskan oleh Muhammad Ibn Tumart
pada tahun 1121 M yang berpusat di Morocco.
Pada tahun 1146 M, pemerintah Kerajaan Muwahiddun kembali
merebut tanah Andalusia daripada penguasaan Kerajaan Murabbitun yang semakin
lemah. Kerajaan ini cuba menawan Andalusia ketika berada dibawah pemerintaha
Sultan Abdul Mu’min. Antara tahun 1114 M dan 1154 M, banyak kota-kota penting
umat Islam dapat dibebaskan oleh kerajaan ini seperti Cordoba, Almeria dan
Granada.
Dan pada tahun 1170 M, Kerajaan Muwahhidun telah menjadikan
Seville sebagai pusat pemerintahan mereka. Untuk tempoh beberapa dekad,
kerajaan ini mengalami kemajuan yang pesat. Tentera kristian dapat dikalahkan
dan pemberontakan dan dihapuskan. Namun, seperti mana kerajaan-kerajaan yang
lain, kerajaan ini turut mengalami tempoh kemunduran mereka.
Pada tahun 1212 M ketika dibawah pemerintahan Sultan Muhammad
III Al- Nasir, tentera islam telah mengalami kekalahan teruk dalam Peperangan
Las Navas De Tolosa di Sierra. Dalam peperangan tersebut, 4 putera kerajaan
kristian iaitu Kerajaan Castilia, Aragorn, Portugal dan Navarre telah bersatu
untuk memerangi dan menjatuhkan Kerajaan Muwahhidun. Kekalahan tersebut
sekaligus menghancurkan dominasi Kerajaan Muwahhidun di Andalusia. Akhirnya, pada
tahun 1224 M, setelah kematian Sultan Abu Yaakub Yusuf II, Kerajaan Muwahhidun
mulai mengalami kemerosotan yang teruk.
Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Kerajaan
Muwahiddun di Andalusia menyebabkan pemerintahnya mengambil keputusan
meninggalkan bumi Andalusia dan kembali ke Afrika Utara pada tahun 1235 M.
Andalusia kembali berpecah kepada beberapa kerajaan-kerajaan kecil yang lemah.
Dalam keadaan sedemikian, umat Islam tidak mampu bertahan daripada serangan
demi serangan yang dilancarkan oleh kristian melalui kempen Re Conquista.
Tahun 1236 M, Cordoba akhirnya jatuh ke tangan tentera
kristian. Kejatuhan Cordoba bagaikan satu kejutan untuk umat Islam kerana kota
mereka yang terbesar dan terkuat sudah hilang akibat kelemahan mereka. 1248 M
pula, tentera Kristian berjaya menawan Sevilla menyebabkan hampir seluruh
Andalusia berjaya ditawan oleh Kristian kecuali wilayah Granada yang merupakan
wilayah terakhir yang masih dibawah pemerintahan muslim.
Tempoh
Keenam (1248 M-1492 M)
Umat Islam pada ketika ini hanya berkuasa di wilayah Granada
sahaja. Kerajaan Nasrid telah menerajui pemerintahan di Granada yang diasaskan
oleh Muhammad Bin Yusuf atau lebih dikenali sebagai Ibn Al-Ahmar. Beliau
terkenal kerana kelicikan beliau berpolitik dan berpidato.
Ketika penguasa-penguasa Islam yang lain sudah mati. Ibn
Al-Ahmar adalah satu-satunya pemimpin Islam di Andalusia yang masih berkuasa
dan mendapat sokongan daripada rakyat.
Oleh itu, Raja Ferdinand III, iaitu raja kristian ketika itu
telah bertindak dan menyerang kubu-kubu tentera Islam.
Kecekalan dan kesungguhan tentera kristian untuk menghapuskan
Ibn Al-Ahmar telah merunsingkan beliau, apatah lagi ketika itu tentera kristian
sudah berjaya mengepung Kota Granada. Akhirnya, Ibn Al-Ahmar telah mengambil
tindakan dengan memeteraikan perjanjian dengan Raja Ferdinand III yang
dinamakan Perjanjian Jaen pada tahun 1246 M.
Dalam perjanjian tersebut Ibn Al-Ahmar telah bersetuju member
bantuan ketenteraan dan membayar ufti kepada Ferdinand III sebanyak 150 000
maravedis. Ibn Al-Ahmar juga bersetuju menyerahkan Jaen, Arjona, Porcuna,
Priego, Higuera dan La Frontera kepada pihak kristian dan meninggalkan wilayah
Granada untuk berada dibawah kekuasaannya. Pada saat inilah bermula
pemerintahan Kerajaan Nasrid yang berpusat di Granada. Kerajaan ini telah
diperintah oleh 22 orang sultan.
Kerajaan ini dikenali kerana pada zaman inilah Istana
Al-Hambra telah dibina. Kemerosotan Kerajaan Nasrid bermula setelah kematian
Sultan Muhammad V pada 16 Januari 1391 M. Pengganti-penggantinya terdiri
daripada sultan-sultan yang lemah yang gagal mempertahankan kedaulatan
kerajaan. Ketika itu Kerajaan Nasrid mengalami masalah dalaman yang serius
akibat perebutan takhta dikalangan kerabat pemerintah.
Pada tempoh ini juga, Raja Ferdinand V dan Isabella
berkahwin. Perkahwinan mereka memberi impak yang cukup besar kepada penganut
agama kristian kerana sekaligus menyatukan kesemua orang-orang Kristian ketika
itu. Raja Ferdinand V telah melancarkan serangan ke atas Granada.
Pemerintah Kerajaan Nasrid yang terakhir ketika itu, Sultan
Abu Abdullah tidak mampu lagi menahan serangan-serangan tentera Kristian dan
akhirnya beliau mengaku kalah. 1492 M, Sultan Abu Abdullah telah menyerahkan
wilayah Granada kepada Raja Ferdinand V dan kemudian berhijrah ke Afrika Utara.
Penyerahan wilayah Granada menandakan berakhirnya penguasaan
umat Islam ke atas tanah Andalusia dan satu kejayaan besar kepada gerakan Re
Conquista. Kemudian, umat Islam telah dibunuh dengan kejamnya dan pada tahun
1609 M, boleh dikatakan sudah tiada lagi umat Islam di daerah itu.
No comments:
Post a Comment