Kata
Imam al-Ghazali, "Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu kematian, yang besar itu hawa nafsu, yang
berat itu amanah, yang sulit itu ikhlas, yang mudah itu membuat dosa, yang susah itu bersabar, yang sering kita lupa bersyukur."
Cuba
kita renung kata-kata hikmah ahli tasawuf ini, semua yang disentuhnya adalah
perkara yang berlaku dalam hidup kita, sama ada secara kita sedari atau tidak?
Waktu
yang singkat selalu membataskan kita melaksanakan tanggungjawab kita dalam
mendidik anak-anak dan berasa amat berat memikul amanah itu. Kita selalu
menyerahkan anak, yakni amanah Allah itu di tangan orang lain.
Hidup
kita ini sejahtera kalau kita ikhlas, dan rasa keikhlasan itu datang dari hati.
Sebab itu kita selalu mendengar orang berkata, "Apa-apa yang kita hendak
buat mesti 'sampai ke hati', tidak pernah orang berkata 'sampai ke akal' dan
itulah makna keikhlasan".
Keikhlasan
memang sukar dilaksanakan bagi orang yang berpenyakit riak, sombong,
menunjuk-nunjuk, dendam, marah dan takbur.
Tanyalah
kepada diri kita, "Kita hendak ada anak untuk apa? Adakah kita hendak ada
anak supaya anak itu dijadikan saham akhirat untuk kita, yang akan mendoakan
kita apabila kita meninggal dunia nanti, atau hanya untuk memberikan kebanggaan
duniawi kepada kita, ibu bapanya?
Sesiapa
yang sudah ada anak, marilah merenung kembali sikap kita terhadap amanah Allah
ini. Sudahkah kita mendidik anak-anak kita dengan bekalan ilmu duniawi dan
akhirat yang cukup? Seandainya, kita mati hari ini agak-agaknya, apakah yang
kita boleh harapkan daripada anak-anak kita? Adakah kita hanya mengharapkan
anak-anak kita boleh menolong kita meneruskan perniagaan kita sahaja? Kalau
perniagaan kita menjurus ke arah perniagaan yang mengajak ke arah kebaikan dan
menjauhkan daripada perkara mungkar, Alhamdulillah.
Tetapi,
kalau perniagaan itu hanya untuk duniawi sahaja dan kita tidak mendidik
kerohanian anak kita agar menjadi "pencen kubur" kita, tentu kita
menjerit-jerit menangis di dalam kubur, mengharapkan doa daripada mereka,
apabila kita meninggal dunia. Adakah kita mahukan, anak-anak yang kita
tinggalkan dengan harta benda yang bersusah payah kita mencarinya semasa hidup
kita itu, tidak memberikan apa-apa makna buat diri kita di sana.
Ada
sembilan tip untuk mendidik anak yang sejahtera dunia dan akhirat. Pertama,
dalam mendidik anak-anak gunakan bahasa yang memberatkan kepada timbangan dosa
atau pahala; taat atau maksiat, Allah reda atau Allah murka. Sentiasa KPI kita
berfikir tentang dosa pahala. Jangan asyik risaukan anak kita tidak mahu makan
dan tidak mahu belajar, tetapi lebih-lebihkan risau tentang akidah dan ibadah
anak-anak kita yang tidak mencukupi. Oleh itu berikan penekanan tentang akidah
dan ibadah kepada mereka.
Kedua,
betulkan dan jaga kualiti solat anak-anak kita. Sebab orang yang menjaga solat,
dia menjaga waktunya. Apabila anak-anak bersolat, roh dan hati anak bersih.
Oleh sebab itu senang mereka mendengar kata ibu bapa.
Ketiga,
tunjukkan contoh yang baik. Kawal hati dan akal anak-anak agar tindakannya
betul. Anak-anak akan "ikut" apa yang ibu bapanya "buat"
dan bukan "dengar" apa yang ibu bapanya "cakap". Jika kita
seorang ibu dan bapa yang baik dari segi akidah dan akhlak, anak kita akan
membesar dengan ketakwaan dan mengikut apa yang kita amalkan dan lakukan.
Keempat,
jangan marah anak tetapi nasihatkan anak. Jangan menghukum dan melabelkan serta
mencerca anak dengan kata-kata yang kesat. Marah anak merosakkan imej diri
anak. Tingkatkan imej diri anak dengan puji-pujian.
Kalau
sebelum ini kita suka berkeras dan memarahi anak, minta maaf kepada anak,
tolong bertaubat serta ajak anak bertaubat dan sama-sama betulkan kesilapan
diri. Orang yang bijak dia tidak akan menyalahkan orang tetapi dia melihat
kesilapan diri sendiri.
Kelima,
menjaga niat. Berapa orang daripada kita menjaga niat kita, hendak mendidik dan
menjaga dengan baik kerana Allah, yakni memegang amanah Allah dengan sebaiknya.
Orang yang bijak dia sentiasa menjaga niat dalam setiap kerja yang
dilakukannya.
Keenam,
pastikan siapakah kawan anak-anak kita? Anak kita akan pilih kawan yang sama
dengan perangainya dan kita akan dapat apa yang kita buat kepada orang.
Maknanya kalau anak-anak kita positif sikapnya, magnet positifnya itu akan
menarik kawan-kawan yang positif sama sepertinya, dan demikianlah sebaliknya.
Kalau kita membuat jahat kepada orang, kita akan mendapat balasan yang buruk
juga daripada orang.
Ketujuh,
kalau ibu bapa hendak memanjakan anak, dengan memberi mainan yang dimintanya,
beritahu anak, bahawa dia berhak mendapat imbuhan itu kerana sebagai
penghargaan kerana sikap baiknya yang menjaga hubungan dengan sesama manusia
dan Allah.
Maknanya
anak-anak tahu dengan sebab dia baik serta menjaga akidah dan amalan ibadahnya,
dia dapat balasan yang baik daripada ibu bapanya. "Fokus kepada akhirat
dunia datang dengan sendiri," ajar selalu kepada anak konsep ini, supaya
akan mendahului dan mencintai hal-hal akhirat.
Kelapan,
jika ayah mendidik anak dengan tegas dan ibu pula mendidik anak dengan lembut,
untuk mengelakkan anak-anak naik kepala atau keliru, ayah mesti beri tahu
kepada anak, bukan dia tidak sayang anak sehingga dia memarahi anak, tetapi dia
cuma marahkan perangai anak. Ibu pula mesti menjelaskan hal yang sama, yakni
sama seperti ayah. Setiap kali ibu atau bapa membuat sesuatu kekasaran kepada
anak, niatkan untuk mendidik bukan melepaskan kemarahan dan tekanan perasaan.
Bukan menghukum anak, tetapi menegur anak.
Kesembilan,
gunakan cara metafizikal. Sebelum tidur sedekahkan surah al-Fatihah kepada roh
anak dan bayangkan anak kita berada di hadapan kita, dan kita cakap kepada anak
apa yang kita hendak anak kita buat seperti yang kita harapkan.
Kualiti
hidup kita bergantung kepada emosi kita. Emosi kita adalah di hati kita. Berikhlas
hatilah menjaga anak-anak di rumah, sebagai tanda kita bersyukur dengan
anugerah besar Allah itu.
Fokuslah
kepada apa yang kita ada, bukan fokus kepada apa yang kita tidak ada. Dengan cara itu kita menjadi orang yang
bersyukur. Sebenarnya emosi yang paling bagus dalam kehidupan manusia ini
adalah bersyukur dan kasih sayang.
Kajian
menunjukkan emosi yang paling besar di dunia ini adalah kasih sayang. Marilah
kita menyemarakkan kasih sayang seisi keluarga kita. Kualiti emosi kita
bergantung kepada kualiti fokus kita. Maknanya kalau kita fokus kepada perkara
yang membahagiakan kita, dan apabila kita boleh bersyukur maka emosi kita lebih
kepada kesyukuran.
No comments:
Post a Comment