Aku
anak kampung. Anak petani yang mengerjakan sawah dan kebun sayur. Dunia bertani
adalah hidupku semasa kecil dan remaja dahulu. Kebun sayur yang diusahkan arwah
ayah bukan tanah sendiri. Sebaliknya disewa. Sawah padi pula milik datuk dan
nenek di kampung.
Namun,
dunia berkebun dan bersawah kini sekadar sejarah. Bukan tidak mahu diteruskan,
tetapi keadaan berubah. Tanah kebun sayur yang pernah diusahakan oleh arwah
ayah tidak lagi diteruskan sewaan. Telah dijadikan tapak rumah.
Sawah
pula tidak lagi dikerjakan sendiri. Kadang-kadang diserahkan kepada orang lain
untuk dikerjakan. Datuk telah lama meninggal dunia dan nenek pula tidak mampu
untuk melakukan tugas yang menjadi sumber rezeki ketika muda dahulu.
Aku
dan adik-adik lain ada kerjaya masing-masing yang tidak mungkin untuk memberi
tumpuan mengerjakan sawah. Begitu juga kerja berkebun sayur dan buah-buahan.
Memandangkan
kami anak petani dan dari kecil bertani dan berkebun, kami tidak melupakan
sepenuhnya kerja berkebun. Bercucuk tanam secara kecil-kecilan dan dalam pasu
dilakukan untuk meneruskan 'legasi' kerja berkebun dan bertani.
Seorang
adik aku agak berjaya mengusahakan kebun biarpun kerjaya utamanya menjadi guru.
Anak-anaknya yang masih kecil dilatih berbudi kepada tanah. Hasilnya memuaskan
dan tentu sekali memberi laba yang baik.
No comments:
Post a Comment