Remaja
perlu menentukan matlamat hidup dan memperkasakan nilai akhlak agar tidak
terpengaruh dengan nilai buruk yang wujud dalam perubahan dan evolusi kehidupan
masa kini yang penuh dengan pelbagai ragam yang jika tidak berhati-hati akan
menjerumuskan kepada keburukan.
Akhlak
yang terbaik adalah seperti yang diamalkan oleh Rasulullah. Ketinggian
akhlak Rasulullah bukan saja diakui oleh orang Islam, bahkan sentiasa dijadikan
rujukan di kalangan bukan Islam yang mana mereka tidak mampu untuk mencari atau
mengemukakan calon lain untuk dinobatkan lebih baik dan tinggi akhlaknya
berbanding Rasulullah.
Perkara
ini bertepatan dengan tujuan Allah mengutuskan Nabi Muhammad adalah untuk
menyempurnakan akhlak manusia. Justeru, golongan remaja dan setiap muslim
harus lebih banyak membaca sirah Rasulullah supaya dapat turut mengamalkan
akhlak Rasulullah sedapat yang mungkin.
Sesungguhnya
akhlak menjadi harta paling berharga di akhirat kelak yang memberi kelebihan
kepada pelakunya. Rasulullah bersabda: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat
di atas neraca timbangan seseorang hamba pada hari kiamat, selain akhlak yang
baik.” (Hadis Abu Daud dan Tirmizi).
Matlamat
hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai ke dalam
diri remaja jika mahu berjaya dan maju sebagai generasi unggul, cemerlang dan
diredai.
Pemahaman
erti takwa perlu dijadikan teras dalam diri remaja agar sentiasa dirinya hampir
kepada Allah dengan melakukan perkara yang baik dan menjauhkan perbuatan yang
ditegah.
Mengikut
Imam al-Ghazali, takwa mempunyai tiga pengertian seperti disebut di dalam al-Quran
iaitu pertamanya takut dan gentar. Takwa juga bermaksud taat dan
ibadah. Seterusnya yang ketiga ialah menyingkirkan hati dari segala rupa
dosa.
Takwa
adalah satu-satunya jalan perintis yang boleh membantu seseorang itu memperoleh
kebaikan di dunia dan akhirat.
Pengukuhan
penghayatan takwa dalam diri remaja dapat menjadi benteng yang menghalang diri
daripada masalah yang menimbulkan kemurkaan dan siksaan Allah.
Masa
muda banyak pancaroba yang jika tidak betul-betul kuat tingkat takwanya boleh
menyebabkan seseorang kecundang dengan hasutan dan bisikan syaitan.
Ingatlah,
sesungguhnya syaitan itu adalah musuh manusia yang nyata. Syaitan berusaha
menyesatkan manusia agar sama-sama menghuni neraka di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment