Aidilfitri hari kemenangan dan
kegembiraan. Sebenarnya bukan persiapan yang penting untuk menyambut hari raya.
Yang lebih penting dalam menyambut Aidilfitri ialah perasaan gembira, membentuk
semangat berkasih sayang, mengeratkan tali persaudaraan, saling membantu dan
meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Ada yang pening kepala dan rungsing
untuk menyambut hari raya disebabkan tiada persiapan kerana kurang wang untuk
membeli apa yang diingini. Timbul rasa malu kepada jiran.
Kita tidak sepatutnya terpengaruh
dengan kemampuan orang lain. Setiap orang mempunyai kemampuan berbeza. Kegembiraan
bukan bergantung kepada kemampuan menyediakan kebendaan, tetapi bergantung
kepada jiwa dan fikiran kita.
Sekarang ini untuk berhutang memang
mudah. Banyak cara berhutang terutama melalui cara penggunaan kad kredit, skim
bayaran ansuran, pinjaman berjangka dan sebagainya.
Syarikat perabot dan kedai elektrik
banyak mengadakan jualan secara skim bayaran ansuran dan sewa beli. Syarat
membeli secara bayaran ansuran dan sewa beli agak longgar. Kebanyakan individu
mudah diluluskan untuk mendapat barang yang diingini dengan hanya membayar
sedikit bayaran pendahuluan atau dalam kebanyakan kes tanpa membayar
apa-apapun.
Membeli secara tersebut mudahnya
disebut hutang. Berhutang memang tidak ditegah oleh agama. Bagaimanapun adalah
lebih baik jika dapat mengelakkan diri daripada berhutang. Amalan berhutang
banyak mendatangkan keburukan jika tidak dikawal dan tidak berhati-hati.
Sebab
itu, Rasulullah SAW berdoa agar dilindungi daripada masalah hutang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ya
Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku
berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu
daripada sifat takut dan lokek, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan
hutang dan kezaliman manusia.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berhati-hatilah ketika berbelanja
menyediakan persiapan untuk menyambut hari raya. Adalah lebih baik bersederhana dan mengelak
masalah hutang yang akan mendatangkan masalah kemudiannya. Disebabkan banyak
berhutang sehingga tidak mampu dilunaskan sehingga Aidilfitri tahun seterusnya,
sedangkan pada tahun itu juga ingin diadakan persiapan menyambut Aidilfitri.
Banyak individu dibebani hutang akan
terus terjebak dengan hutang. Apabila ingin membayar sesuatu hutang yang genap
tempoh membayarnya, maka dia mencari sumber lain pula untuk berhutang. Kes ini
dipanggil gali lubang timbus lubang. Lubang yang digali semakin banyak
sedangkan yang ditimbus tidak tertutup-tutup.
No comments:
Post a Comment