Sunday, 26 May 2019

CARA ELAK GADUH BALIK RAYA

Hari raya masing-masing berkumpul di rumah ibu bapa mahupun datuk. Meriah betul suasana di kampung yang menerima kepulangan perantau. Bagi yang bujang, tidak timbul masalah hendak pulang ke mana. Yang adapun hanya di rumah ibu bapa sendiri.

Masalahnya kepada yang sudah berkahwin atau berkeluarga sampai gaduh balik raya. Mereka ada dua destinasi perlu dipilih sama ada rumah ibu bapa sendiri atau rumah ibu bapa pasangan. 
 
Kalau dari negeri yang sama, rasanya masalah untuk pilih tidak timbul masalah sangat kerana boleh ulang alik dengan mudah disebabkan dekat. Masalah besar bagi pasangan yang berasal dari jauh. Satu keluarga di utara dan satu pihak lagi di selatan. Masalah perjalanan sehingga melebihi 10 jam dan lebih parah lagi terpaksa menghadapi perjalanan yang sesak pada musim hari raya.

Disebabkan masalah membuat keputusan memilih rumah sebelah mana, ada pasangan bergaduh. Lebih parah turut diheret sama anak-anak untuk menyokong rumah datuk mana yang di sukai.

Mengapa mesti gaduh pilih sebelah mana hendak balik raya. Fikirkan, hari raya untuk bergembira, bukan untuk bergaduh dan berduka. Ada petua patut diamalkan dalam soal pujuk hati agar menerima dengan hati terbuka apa sahaja pilihan tempat berhari raya. Jangan gaduh balik raya.

Petua 1 - Beraya di mana-mana pun sama.
Sebenarnya kita yang menentukan pemikiran kita untuk mewujudkan perasaan gembira. Gembirakan hati dan minda. Jangan fikir tentang perkara lain. Jangan bernostagia beraya di tempat lain. Hargai situasi yang kita hadapi pada masa itu.

Petua 2 - Anggap di tempat itu lebih baik.
Katakan kena berhari raya di rumah atau kampung sebelah pasangan. Anggaplah itu adalah tempat lebih baik untuk berhari raya. Fikirkan tentang perkara baik yang boleh dinikmati. Guna atau lalui masa dengan aktiviti yang mengembirakan dengan pasangan, ahli keluarga dan sanak saudara. Mungkin kira berasa bertuah dimuliakan atau disayangi oleh mertua, ipar dan keluarga sebelah pasangan.

Petua 3 - Anggap itu satu pengorbanan mulia.
Hidup berumahtangga perlukan pengorbanan. Jangan hanya pentingkan diri sendiri. Kalau semasa bercinta dahulu macam-macam sanggup dilakukan, ini hanya perkara kecil untuk ikut berhari raya di sebelah pasangan.

Petua 4 - Atur giliran.
Hari raya berlaku pada setiap tahun. Ada dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Jadi gilir-gilir berhari raya di kedua-dua pihak. Adil dan masing-masing berpuas hati.

Petua 5 - Bertolak ansur.
Ada kala perlu pulang ke rumah keluarga sebelah pasangan kerana ada keperluan tertentu. Contoh ada kenduri kahwin atau ambil peluang menziarah keluarga yang sakit. Dalam keadaan itu, jangan fikir sangat sangat mengenai giliran.

No comments:

Post a Comment