Setelah dipilih dan dilantik sebagai
Khalifah, Umar Abdul Aziz berpidato dengan ucapan yang menggugah jiwa. “Taatlah
kamu kepadaku selama aku taat kepada Allah. Jika aku durhaka kepada Allah, maka
tak ada keharusan bagimu untuk taat kepadaku.”
Itulah akhlak pemimpin sejati yang
seharusnya diteladani para pemimpin kita yang ada hari ini kerana kekuasaan,
jawatan, dan kedudukan tidaklah kekal abadi, tetapi sebaliknya ia adalah amanah
yang akan disoal di akhirat nanti.
Persoalannya, apakah para pemimpin
kita yang kononnya berjuang demi rakyat pada masa ini mempunyai semangat, roh
dan motivasi seperti Khalifah Umar Bin Abdul Aziz?
Fakta menunjukkan, banyak di antara
mereka ini yang hanya bijak menjadikan Khalifah Umar sebagai alat, simbol dan
slogan retorik politik, tetapi dari cara berfikir, kebijakan yang ditekankan,
dan tindakan yang dilakukan tersangat sangat jauh menyimpang dengan apa yang
dilakukan khalifah ini.
Kuasa, jawatan dan kedudukan bukan
lagi dipandang sebagai suatu amanah yang harus dilunaskan dengan baik, tetapi
lebih banyak dipergunakan dan diperalatkan untuk kepentingan diri, keluarga dan
kelompok masing-masing.
Adalah sesuatu yang malang dan
nestapa, akibat dari keghairahan ingin berkuasa dan berkedudukan ini, yang
menjadi mangsa dan korbannya adalah rakyat kecil yang tidak mengerti apa-apa,
mencari makan pagi untuk dimakan pagi, mencari makan petang untuk dimakan
petang yang perlukan pertolongan dari pemimpinnya.
No comments:
Post a Comment