Masa kanak-kanak ada macam-macam pengalaman
atau perkara dilakukan yang menjadi kenangan. Sebahagian amalan dilakukan
kanak-kanak dahulu tidak lagi dilakukan kanak-kanak masa sekarang atau
sebahagian sahaja dapat mengalaminya.
Satu pengalaman masa kanak-kanak ialah
mencari biji atau butir ketereh yang disebut tere. Musim buah tere atau buah
gajus memang mengujakan. Bukan kerana ingin makan buah tere, tetapi nak
dapatkan butirnya.
Biji gajus berada di luar. Jadi, bila hendak
mengambilnya hanya perlu 'dipulas' untuk mengasingkan daripada buahnya. Sedangkan
buahnya dibiarkan terus berada di tangkai.
Perbuatan itu dikatakan pulas kepala atau
pancung kepala. Sebab itu, masuk musim buah gajus masak dikatakan musim pancung
kepala. Ngeri juga bunyinya.
Perbuatan hanya mengambil biji ketereh sahaja
memang dimarah oleh ibu bapa atau pemilik pokok. Namun, disebabkan bukan buah
yang diingini, jadi yang 'dicuri' hanya bijinya.
Biji ketereh yang baru diambil perlu dijemur
terlebih dahulu untuk mengeringkan getah yang ada di dalam kulitnya.
Getah itu jika terkena pada kulit boleh
menyebabkan gatal dan kudis yang dipanggil birat.
Disebabkan tidak sabar nak makan isi biji
ketereh atau dipanggil juga biji kacang gajus, biji itu tidak dijemur,
sebaliknya terus dibakar.
Kalau dibakar tanpa dijemur, ia akan
mengeluarkan getah 'berbuih' yang menyebabkan api menjadi lebih marak membakar
butir itu.
Untuk mengelak butir menjadi hangus, biasanya
perlu dibakar atau digoreng di dalam bekas yang dicampurkan dengan pasir.
Selepas butir tere 'masak' ia perlu dikatok
atau dipukul menggunakan kayu atau benda keras untuk memecahkan kulitnya yang
tebal.
Disebabkan sekali lagi tidak sabar nak makan
biji itu, apabila dipukul dan keluar bijinya, terus dimasukkan ke dalam mulut. Akibat
itu, mulut dan muka biasanya akan terkena arang kulit menjadi hitam.
Itulah memori indah untuk terus dikenang.
Budak-budak sekarang memang biasa maka biji
gajus tetapi yang telah siap. Biji gajus menjadi snek yang banyak dijual di
pasaran. Biji gajus di pasaran Malaysia banyak diimport dari Thailand dan Vietnam.
No comments:
Post a Comment