Thursday 18 July 2019

RAKAMAN VIDEO DI AKHIRAT TULEN

Teknologi sering disalah guna untuk perkara buruk. Sebab itu ada orang menggunakan video yang diedit untuk menjatuhkan seseorang.

Namun, niat buruk itu boleh juga dibuktikan melalui teknologi yang sama. Sesuatu rakaman video boleh dibuktikan sama ada ia tulen atau sebaliknya.

Jika ia palsu atau diedit, maka tenyata usaha dan pihak memburukkan individu tertentu tidak berjaya. Pihak yang terlibat dalam usaha itu perlu dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada.

Namun, jika ternyata video itu adalah tulen atau benar, maka terima hakikatnya. Kalau ia berkaitan sesuatu amalan buruk, jangan lagi hendak menegakkan benang yang basah.

Allah telah memberi pembalasan di atas dunia ini. Masa masih ada untuk bertaubat. Tidak perlu lagi fikirkan angkara perbuatan siapa perbuatan tidak baik itu tersebar.

Usah mencari salah orang lain. Tidak kisahlah, jika benar ia satu konspirasi untuk menjatuhkannya. Yang penting ialah perbuatan buruk itu adalah benar dilakukan seperti mana disahkan bahawa video itu adalah tulen.

Ingatlah 'rakaman video' yang ditayangkan di akhirat nanti tiada siapa yang mampu mempertikaikan lagi.

Jauhkan daripada melakukan perkara buruk atau dosa biarpun dilakukan di tempat sembunyi, kerana jururakam video untuk tayangan di akhirat tidak pernah terhalang melakukan tugasnya biarpun di mana sahaja anda berada.

No comments:

Post a Comment