Sunday 21 July 2019

FATIMAH TERIMA ANUGERAH HARI IBU BAPA KELANTAN

Fatimah Yusuf (69 tahun 2019) bersama tiga individu lain terpilih menerima penghargaan sempena Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Kelantan 2019 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR).

Tiga penerima lain ialah Azmi bin Hussain, Zarina bt Idris dan Fauzi Hassan.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah LPPKN Kelantan, Haslinda Abd Halim, Pengerusi  MAWAR, Dr Hafidzah Mustakim, Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Wanita dan Ummah YADIM, Ustaz Muhammad Hafiz Musa dan Pemangku Pengarah YADIM Kelantan, Yusnita Muhamed Yusoff.

Fatimah, seorang ibu tunggal, berjaya membesarkan 16 orang anak, adalah antara faktor beliau terpilih menerima penghargaan itu.

Kesemua anak beliau, 11 lelaki (pertama sehingga 11) dan 5 perempuan (12 hingga 16) berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Anak sulung kini berumur 52 tahun manakala bongsu mencecah usia 27 tahun. Kesemua anak Fatimah telah mendirikan rumahtangga yang melahirkan 62 cucu kepadanya.

Suami Fatimah, Ismail Abdullah meninggal dunia pada 20 Nov 2000 akibat penyakit lumpuh yang mula dialami sejak tahun 1990 yang semakin bertambah buruk secara berperingkat-peringkat sehingga meninggal dunia.

Pada tahun 2005 Fatimah dianugerahkan Tokoh Ibu Solehah Peringkat Negeri Kelantan dan menjadi senarai akhir penerima Anugerah Ibu Mithali Peringkat Kebangsaan 2014 yang melayakkan menerima anugerah khas.

No comments:

Post a Comment