Friday 19 July 2019

DUA EKOR HARIMAU HANYA ANDAIAN BUKANNYA FAKTA


Banyak berita disebarkan tidak tepat atau agak-agak sahaja. Pihak yang mendakwa sebagai sumber berita sendiri sebenarnya tidak pasti atau hanya andaian.

Ambil sahaja peristiwa harimau 'jinak' yang tersesat dan berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada 18 Julai 2019.

Penduduk mendakwa sepasang harimau belang tersesat dan berkeliaran di kampung berkenaan. Maka tersebar berita mengatakan seekor jantan dan seekor lagi betina. Macam-macam pengecaman dibuat untuk dijadikan bukti bahawa dua ekor itu ada sepasang iaitu jantan dan betina.

Namun, dalam cerita yang tersebar itu, tiada seorang pun dapat membuktikan dia nampak harimau yang dikatakan sepasang itu pada masa sama atau berada berdua berdekatan pada masa sama.

Dakwaan mengatakan dua ekor itu hanya satu andaian berdasarkan cerita individu berlainan yang melihat seekor harimau dengan pengecaman atau penerangan berbeza mengenai harimau itu.

Berdasarkan cerita itu, maka dirumuskan bahawa ada dua ekor harimau dan dikatakan pula ia adalah sepasang.

Ambo tidak mempertikaikan kemungkinan memang ada dua ekor dan sepasang seperti yang didakwa itu. Namun, yang ingin diajak dijadikan renungan ialah adakan hanya berdasarkan kepada cerita yang tidak dipastikan, maka ia dijadikan sebagai satu perkara yang betul dan mendapat liputan meluas pula di media arus perdana mahupun media sosial.

Sehingga catatan ini dibuat, kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu hanya berjaya menangkap seekor sahaja dari dua ekor yang didakwa.

Jika benar ada dua ekor dan jinak, rasanya tidak sukar untuk Perhilitan menangkap kedua-duanya. Jadi, berapa ekor sebenarnya harimau yang merayau-rayau masuk kampung berkenaan?

Pengajaran kisah tersebut ialah banyak berita yang tersebar tidak semestinya benar biarpun telah tersebar secara meluas.

No comments:

Post a Comment