Friday 19 July 2019

PIJAK AL QURAN ANGKARA JAHIL HUKUM AGAMA


Kejadian empat remaja perempuan ditahan polis berhubung kes video tular perbuatan biadab memijak al-Quran di Kampung Gobek Gual Ipoh, Tanah Merah memang amat mengejutkan.

Hasil siasatan awal mendapati remaja yang memijak al-Quran itu dipaksa oleh rakan perempuannya sebagai salah satu kaedah 'bersumpah' berkaitan perbuatan hubungan seks dengan seorang lelaki.

Gara-gara bimbang keselamatan diri, dia mendakwa terpaksa melakukannya seperti terkandung dalam klip rakaman video yang tular.

Soal siapa yang bersalah, sama ada yang memaksa atau dipaksa, perbuatan itu tidak wajar. Bahkan, 'babak' dalam rakaman itu menampakkan seperti ia 'main-main'.

Kejadian itu amat serius sebagai satu bukti parahnya masalah moral remaja sekarang. Kejahilan dan kurang didikan agama adalah punca masalah itu terjadi.

Sekitar tahun 1990 an hingga 2010 kita berdepan dengan masalah remaja terlibat dengan Kumpulan Black Mantel sehingga timbulnya Kumpulan Jangan Ikut Tuhan (JIT).

Mereka terpengaruh dengan kumpulan di luar negara dan berkembang di Malaysia dengan wujud pengikutnya sendiri. Mereka terlibat menjadikan al-Quran sebagai 'bahan' dalam beberapa aktiviti ritual seperti sumpah dan ikrar.

Dalam aktiviti tersebut, al-Quran akan dikoyakkan, dibakar atau dijadikan alas untuk melakukan perbuatan ditegah agama.

Kejadian dahulu dan yang terbaru berlaku adalah disebabkan kejahilan tentang kedudukan al-Quran yang sepatutnya dimuliakan. Kita sepatutnya meletakkan al-Quran pada tempat tinggi dan bukannya dipijak.

Malah, adab memegang hendaklah dilakukan dengan 'pandangan' dan perasaan bahawa ia adalah sesuatu yang mulia sesuai dengan kedudukan al-Quran sebagai kalam Allah.

Usah mencari dan menunding jari salah siapa atas apa yang berlaku, menjadi tanggungjawab semua pihak agar perkara sama tidak berulang lagi.

Ketika kita sentiasa meletakkan kesalahan kepada bukan Islam tentang sesuatu yang dianggap menghina Islam, amat malang sekali ia dilakukan oleh orang Islam sendiri.

No comments:

Post a Comment