Tuesday 30 July 2019

SUSU PEKAT MANIS PUNCA KEGEMUKAN KENCING MANIS


Susu pekat manis menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Susu pekat manis adalah produk yang diproses dengan menambah gula dalam kuantiti yang banyak, kira-kira 40 hingga 50 peratus kandungan produk. Kandungan susu segar hanyalah kira-kira 10 peratus.

Gula bertindak sebagai bahan pengawet dalam memastikan susu ini tahan lebih lama sehingga bertahun-tahun.

Di samping itu juga, kandungan gula yang tinggi juga mengakibatkan mikroorganisma di dalam susu mati sekali gus berfungsi untuk mengekalkan tahap steril pada produk ini.

Bayangkan kadar pengambilan susu pekat manis yang telah kita ambil selama ini. Kita bukan sahaja menggunakan susu pekat sebagai pemanis minuman, kita juga menggunakannya untuk membuat kuih-muih, kek, ABC dan sebagainya.

Betapa banyaknya rakyat Malaysia mengambil gula, sama ada dalam bentuk gula kasar mahupun dalam produk susu. Jumlah ini bertambah lagi bagi mereka yang gemar minum kopi atau teh susu dengan jumlah susu pekat manis yang banyak.

Kebanyakan penggemar susu pekat manis menganggap mereka minum susu yang didakwa baik untuk kesihatan. Mereka tidak mengetahui kandungan gula yang banyak dalam susu pekat manis memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Rakyat Malaysia perlu disedarkan betapa buruknya kesan mengambil susu pekat manis secara berterusan dengan kadar yang banyak.

Inilah sebab mengapa rakyat Malaysia ramai mengalami kegemukan dan masalah kencing manis, serta penyakit lain berkaitan kesan racun gula.  

No comments:

Post a Comment