Hasil yang pertama memang mengujakan. Gembira
dan satu kepuasan mendapat hasil pertama. Biarpun hasilnya tidak seberapa,
namun gembiranya sukar digambarkan. Itu tanda kejayaan dan ia wajar diraikan.
Begitulah perasaan mereka yang mendapat hasil
usaha tangannya sendiri bercucuk tanam. Bukan keuntungan atau jimat yang
penting, tetapi berasa dia telah berjaya.
Semasa menyemai atau menanam pokok itu
dilakukan dengan penuh harapan agar akan dapat menikmati hasilnya. Setiap ruang
masa yang ada akan dilihat dan diamati pertumbuhan pokok itu. Terasa benar
tidak sabar untuk melihat pokok itu membesar dan seterusnya mengeluarkan hasil.
Dan, apabila hasilnya dapat dipungut, maka terpancar
satu kegembiraan yang dikongsikan dengan keluarga.
Seperti meraikan kejayaan lain, gambar akan diabadikan.
Lebih-lebih lagi sekarang ni ambil gambar tidak lagi memerlukan kos.
Maka, gambar itu akan dikongsikan pula di media
sosial untuk memberitahu kejayaan dan kegembiraan itu. Tidak kisahlah hasil itu
sekadar biasa-biasa sahaja.
Jom menanam sayur dan buah-buahan. Anda pasti
bergembira nanti.
No comments:
Post a Comment