Sunday, 15 January 2017

Banjir besar di Kelantan

Setiap tahun Kelantan dilanda banjir. Bezanya tahap atau keadaan banjir tidak sama. Pada tahun tertentu mungkin banjir besar berlaku dan pada tahun lain pula sekadar ’air menuh’.

Kejadian banjir besar dijadikan peristiwa penting dalam lipatan sejarah Kelantan. Ini kerana ada golongan tua yang menjadikan peristiwa itu sebagai ’penentu’ usia untuk dibandingkan di antara seseorang. Contohnya, disebut ’masa bah tu umur ambo 10 tahun”, ’anak ambo lahir sebelum bah merah” dan sebagainya. 

Dengan kata lain, peristiwa banjir dijadikan ’dasar masa’ untuk menentukan masa sebelum atau selepas, walaupun kebanyakan mereka tidak mengingati tahun sebenar peristiwa banjir tersebut. Banyak kes kelahiran di Kelantan dirujuk berdasarkan kepada usia ’lebih’ kurang berdasarkan kepada peristiwa banjir.

Sebab itu, dikatakan sejarah banjir begitu sinonom dan bermakna bagi rakyat Kelantan.

Sejarah banjir atau dipanggil bah yang masih dalam ingatan warga emas di Kelantan ialah Bah Merah. Peristiwa itu menjadi bualan setiap kali topik banjir besar diucapkan. Atau, ia dikira sebagai perbezaaan untuk tahap banjir sesuatu tahun untuk perbandingan.  

Mengikut catatan, hujan tanpa henti selama 10 hari pada 1926, mengakibatkan banjir besar atau lebih dikenali sebagai Bah Merah di kalangan penduduk Kelantan.  

Hujan banyak turun di kawasan hulu Sungai Kelantan, selain turut membasahi keseluruhan Tanah Rendah Sekebun Bunga. Ini menyebabkan air melimpah melepasi tebing Sungai Kelantan dan menegelamkan kawasan rendah. 

Bah Merah dikira luar biasa kerana banyak tempat yang biasanya tidak dinaiki air pada setiap kali banjir, turut dilanda banjir. Maka, kesan malapetaka itu tentu sekali turut meragut nyawa, memusnahkan tanaman dan rumah penduduk. Bandar Kota Bharu menyaksikan semua tempat ditengelami banjir.  

Bah Merah diberikan nama ’merah’ berikutan banjir yang luar biasa ini airnya berwarna kemerah-merahan kerana lumpur daripada bahagian hulu negeri ini.

Kejadian banjir besar pada 1926 dipanggil Bah Merah disebabkan warna air banjir bertukar daripada warna teh susu kepada merah kerana dipercayai ada bukit di bahagian hulu sungai runtuh dan mengakibatkan banjir lumpur.

Kira-kira 40 tahun kemudian di penghujung 1967, satu lagi banjir besar melanda negeri Cik Siti Wan Kembang ini dan meragut 38 nyawa dan kira-kira 537,000 atau 84 peratus penduduknya turut terjejas. 

Banjir itu dikatakan kurang sedikit berbanding dengan Bah Merah pada tahun 1926. Bagaimanapun, di sesetengah tempat, banjir tahun 1967 dikira lebih besar.

Memang di Kelantan ini dikira hampir setiap tahun air naik tetapi tidaklah begitu teruk seperti pada 1927 dan 1967. Antara catatan bah besar yang turut diingati oleh rakyat Kelantan ialah pada tahun 2004.

Manakala catatan Bah Kuning 2014 pula pastinya terpahat dalam ingatan warga Kelantan generasi muda. Mereka melalui sendiri detik Bah Kuning yang dianggap terbesar dalam tempoh 50 tahun.  

Sebenarnya tahap banjir di sesuatu tempat sering dijadikan rujukan kerana bagi membolehkan perancangan untuk mendirikan rumah atau bangunan di sesuatu kawasan.  

Contohnya, banyak perancangan membina rumah tergendala apabila kawasan itu ditengelami air pada tahun 2004. Dan sekarang ini mereka akan menjadikan pula Bah Kuning sebagai tanda rujukan. 

Pun begitu, ada yang berkata, 'jangan ikut sangat takat Bah Kuning' kerana ia sesuatu yang luar biasa.   

Walaupun tahap banjir sampai di kawasan berkenaan hanya dalam tempoh berpuluh tahun sekali, tetapi bagi yang mementingkan keselamatan nyawa dan harta benda, perkara itu diambil kira. 

No comments:

Post a Comment