Bulan Safar dikaitkan bala, nasib
tidak baik, perkara buruk dan derita. Safar bulan kedua dalam kalendar Islam.
Safar bermaksud kosong. Ia juga memberi erti, meninggalkan sesuatu tempat
apabila merujuk kepada perkataan `safir'.
Banyak orang percaya, bulan Safar
membawa bala dan kejadian tidak baik. Sesungguhnya bulan Safar sama juga
dengan bulan-bulan lain yang tidak ada sial dan bala di dalamnya.
Sekiranya
ada kejadian bala pada bulan Safar, maka itu tidak ada kaitan dengan bulan
Safar. Anggaplah ia hanya satu kebetulan. Semua kejadian ditentukan Allah
SWT.
Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT
dalam firman yang bermaksud: "(Tuhan berfirman) ketahuilah, sesungguhnya
nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi
kebanyakan mereka tidak mengetahui." (Surah al-Araf, ayat 131)
Mengapakah ada orang mempercayai pada
bulan Safar Allah SWT akan menurunkan puluhan ribu bala yang akan menimpa umat
manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa
saja yang dikehendaki Allah SWT.
Bala tetap berlaku pada bulan-bulan
lain. Maka adakah kita ingin katakan bahawa semua bulan adalah bulan bala?
Kita amat sedih apabila masih ada yang
mempercayai bulan Safar bulan bala dan sial. Untuk mengelak kesialan itu, maka
ada umat Islam yang telah menulis ayat wifiq pada kertas dan pinggan mangkuk
yang kemudiannya diletakkan di dalam tempayan, kolam, perigi atau seumpamanya
untuk diminum serta bermandi manda untuk mengelak bala.
Perlu ditegaskan bahawa kepercayaan
karut seumpama itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang
dilarang Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah amat percaya kepada perkara mistik
dan kurafat, sesuai dengan pengangan atau kepercayaan mereka pada ketika
itu.
Namun, kepercayaan itu masih diamalkan
di kalangan orang Arab Jahiliyah biarpun telah memeluk Islam. Perkara ini
terjadi mungkin kerana perkara itu sudah sebati atau mereka tidak mendapat
maklumat bahawa perbuatan itu ditegah agama.
Perbuatan mempercayai bulan Safar
mendatangkan bala dan sial adalah perbuatan mencampakkan diri dalam
kebinasaan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Belanjakanlah (apa yang ada padamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan
perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang
berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Ada sesetengah orang tua yang tidak
mahu mengadakan majlis perkahwinan atau keramaian pada bulan Safar kerana
dikhuatiri pengantin tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia. Kepercayaan
itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya
akidah.
Dalam keadaan tertentu, ia boleh
menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada
kuasa Allah SWT. Berhati-hatilah agar kita tidak terikut-ikut dengan
kepercayaan kurafat ini. Yakinlah bahawa setiap apa terjadi ketentuan Allah SWT
tanpa bersandarkan kepada perkara lain.
Rasulullah SAW menyatakan melalui
sabda bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak
ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada
bala bencana bulan Safar. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
No comments:
Post a Comment