Apabila hujan berterusan di sesuatu kawasan, terutama dalam keadaan lebat, banjir akan melanda. Rakyat diingatkan agar bersedia untuk menghadapi banjir pada bila-bila
masa. Jabatan kerajaan dan pasukan
bantuan sukarela seperti Persatuan Bulan Sabit Merah telah bersedia untuk
melakukan tugas-tugas membantu mangsa banjir.
Setiap kali musim hujan, satu perkara yang perlu
diingatkan kepada semua ialah soal keselamatan diri dan keluarga. Keselamatan harta benda seperti kenderaan,
peralatan rumah, haiwan ternakan dan hasil tanaman juga perlu diambilkira.
Umum mengetahui, setiap tahun sentiasa ada yang
mangsa mati lemas pada musim hujan. Banyak kes kematian melibatkan kanak-kanak ketika bermain air pada musim
banjir. Kematian sedemikian bukan
berpunca bencana banjir, tetapi satu kecuaian yang sebenarnya boleh dielakkan.
Korban bermain air pada musim hujan dapat
dielakkan jika semua pihak mengambil langkah keselamatan dan berhati-hati. Mangsa mati lemas bermain air setiap tahun
kebanyakkan terdiri kanak-kanak dan remaja.
Jelas sekali, perkara ini berlaku akibat kecuaian
ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang soal kecelakaan yang mungkin
berlaku terhadap anak mereka semasa musim hujan. Ibu bapa tidak risau atau mengambil langkah
pencegahan untuk mengelak anak menjadi mangsa lemas.
Ramai ibu bapa menganggap musim hujan sama seperti
hari-hari lain. Anak dibiarkan bebas
bergerak dan bermain seperti biasa. Ibu
bapa tidak ambil kisah tentang adanya kawasan mudah ditakungi air di sekeliling
atau berhampiran tempat tinggal.
Air mudah bertakung di kawasan paya, parit,
longkang, sawah dan lubang yang digali di tapak pembinaan. Tempat-tempat beginilah selalu menjadi
tumpuan kanak-kanak untuk bermain yang berakhir dengan tragedi.
Kanak-kanak memang tidak tahu bahaya yang mungkin
menimpa mereka ketika bermain air hujan. Malah, mereka tidak tahu apa itu mati lemas. Bagi yang sudah memasuki alam remaja dan
mengetahui erti mati lemas, mereka mudah lupa apabila asyik bermain tanpa
ditegah atau diingatkan tentang bahayanya.
Sebab itu amat penting ibu bapa atau orang dewasa
mengambil tanggungjawab melarang kanak-kanak daripada bermain hujan. Ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan anak
bebas bermain air hujan dengan apa alasan sekalipun.
Terdapat ibu bapa membiarkan anak bermain air
hujan dengan alasan kawasan sekitar rumah mereka tidak ditegelami air atau
kedalaman airnya hanya cetek yang tidak mungkin akan menyebabkan anak mereka
lemas.
Pendapat mereka itu memang tetap. Tetapi, ramai ibu bapa lupa beberapa perkara
lain. Pertamanya, kedalaman air di
sesuatu kawasan tidak sama. Kawasan di
hadapan rumah mungkin memang cetek yang tidak mendatangkan apa-apa bahaya.
Tetapi, di tempat yang jauh sedikit daripada laman
rumah mungkin ada kawasan yang kedalaman airnya lebih dalam seperti dalam
parit, paya atau lubang yang digali. Hujan lebat menyebabkan kawasan tersebut cepat dipenuhi air dan aliran
air yang deras.
Di sesetengah kawasan, hujan lebat beberapa jam
telah menyebabkan banjir kilat yang boleh mendatangkan bahaya kepada
kanak-kanak.
Selain sikap ibu bapa, satu fenomena yang banyak
menyebabkan korban musim hujan ialah tanggapan orang ramai terhadap
banjir. Bagi seetengah orang, musim
hujan yang sepatutnya dihadapi dengan perasaan sedih dan bimbang telah dianggap
sebagai satu pesta.
Ramai menyambut kedatangan banjir sebagai
menghiburkan. Mereka akan menanti-nanti
kedatangan banjir untuk disambut sebagai satu pesta tanpa penganjur. Jika tidak berlaku banjir besar seperti
diharapkan, mereka akan merasa seperti satu rasa tidak puas hati atau
kerugian.
Musim hujan tidak dianggap sampai kemuncak jika
tidak berlaku banjir. Setiap kali musim
banjir mencatatkan pengalaman berbeza-beza. Sebab itu setiap kali musim hujan, ramai yang akan mengingati kembali
musim banjir lalu.
Mereka akan membanding-bandingkan pengalaman yang
telah dilalui, khususnya kecil atau besar banjir yang berlaku pada sesuatu
tahun. Tidak hairan jika pengalaman
banjir berpuluh-puluh tahun lalu masih disebut-sebut oleh mereka yang pernah
melaluinya.
No comments:
Post a Comment