Wednesday, 8 August 2018

Pembeli pertama dipanggi gori

Salah satu dialek Kelantan yang semakin jarang digunakan oleh gori ([go.ri] | ݢوري). Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan gori adalah dialek Kelantan yang bermaksud membeli mula-mula sekali sebelum pembeli-pembeli lain. 

Perkataan gori kerap digunakan oleh penjual untuk menyatakan bahawa pembeli itu adalah orang yang pertama membeli pada hari berkenaan atau perniagaan yang baru dibuka.

Pada kebiasaannya, peniaga memberi harga lebih murah atau tidak berkira dengan pembeli yang ingin menawar harga lebih murah atas dasar gori. Bergori dianggap sebagai pembuka rezeki. Jadi, soal untung tidak dipentingkan sangat. Maka dikatakan penjual sanggup memberi harga lebih murah asalkan ada pemulaan rezeki pada hari itu.

Manakala di sebelah pembeli pula biasanya tiada akan menawar lebih-lebih apabila penjual mengatakan untuk bergori pada hari itu. Pembeli berasa 'simpati' jika masih belum bergori sedangkan perniagaan sudah dibuka lama pada hari itu. 

Ada peniaga yang masih belum bergori pada hari itu sedangkan perniagaan akan ditutup tidak lama lagi. Jadi, pembeli biasanya akan bergori agar setidak-tidaknya ada sedikit hasil jualan yang dapat dibawa pulang oleh peniaga.

Jadi, demi untuk gori atau bergori, penjual dan pembeli akan saling bertolak ansur untuk mewujudkan suasana menang menang. Penjual akan rasa bergembira bila ada orang bergori dan pembeli pula berasa 'bangga' dan bergori membantu penjual membuka rezeki pada hari itu.

Sesungguhnya, betapa malam jika peniaga ada yang tidak bergori berniaga sepanjang hari. Itulah nasib dialami sesetengah peniaga sekarang ini. Biarpun hari-hari berniaga, tetapi tidak bergori. Makanya, setiap hari mereka tidak memperoleh sebarang hasil jualan.

Mereka hanya peniaga kecil yang mengharapkan sedikit rezeki untuk menyara kehidupan. Malangnya, kebanyakan pembeli kini lebih suka membeli di pasar raya sehingga peniaga kecil di pasar-pasar ketiadaan pelanggan dan tertutup punca rezeki mereka.

Jom pakat membantu peniaga kecil. Berikan mereka keselesaan berniaga dan membeli barang keperluan daripada mereka. Sama membantu memperkukuhkan ekonomi orang Islam.

No comments:

Post a Comment