Saturday, 1 September 2018

CEMBURU PUNCA PERCERAIAN PSIKOLOGI


Banyak punca perceraian lebih ke arah bersifat psikologi seperti cemburu dan hubungan yang tidak harmoni, selain tiada asas pendidikan agama yang kukuh. Ini menunjukkan bahawa bantuan kaunseling perkahwinan dan bimbingan agama amat diperlukan untuk membantu menyelamatkan ikatan perkahwinan yang bermasalah.

Sesuatu yang menghairankan juga, banyak pasangan muda yang bercerai melayari alam perkahwinan lebih singkat berbanding masa bercinta. Mereka serasi menjadi pasangan kekasih, tetapi tidak sesuai menjadi pasangan suami isteri.

Hal ini membuktikan, cinta semata-mata tidak menjamin kebahagiaan rumahtangga. Cinta hanya sebagai penyeri membina kebahagiaan rumahtangga. Sedangkan tiang untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan memerlukan pasangan suami isteri memahami dengan jelas hak dan tanggungjawab dalam perkahwinan.    

Kebijaksanaan dan kepekaan suami dalam memimpin amat penting bagi mengatasi sebarang krisis yang sering berlaku dalam kehidupan rumahtangga agar ia tidak berlarutan sehingga menyebabkan kepada keruntuhan rumahtangga.

Didapati banyak rumahtangga berakhir dengan perceraian disebabkan kegagalan suami mentadbir rumahtangga, khususnya kurang kepekaan mengatasi punca berlakunya keretakan. Punca keruntuhan rumahtangga banyak berpunca daripada masalah kecil yang kemudiannya merebak disebabkan tidak diatasi segera.

Justeru, suami isteri perlu melihat sebarang bibit krisis sebagai penting ditangani segera. Islam menetapkan garis panduan agar mendapat keadilan bagi kedua-dua pihak. Sesungguhnya jalan penyelesaian bukan dengan mencari salah siapa, tetapi bagaimana untuk ia diatasi dan rumahtangga terus kekal.

Dalam situasi sedemikian, pasangan mesti berkomunikasi dengan baik menyelesaikan masalah rumah tangga. Pasangan yang gagal berkomunikasi tidak dapat memahami antara satu sama lain biasanya terpaksa memilih untuk bercerai. 

Dalam menghadapi cabaran dunia yang mementingkan kebendaan dan individualistik menyebabkan rumah tangga berdepan dengan krisis ekonomi. Pasangan gagal untuk menentukan apa yang menjadi keperluan dan mana pula sekadar melambangkan kemewahan yang tidak semestinya disediakan.

Akibat gagal menguruskan ekonomi keluarga, ditambah pula dengan sikap pasangan yang ego dengan kelebihan masing-masing, adalah sukar untuk mewujudkan keadaan rumah tangga yang mampu bertahan dalam keadaan demikian.  

Isteri yang berkerjaya tidak takut untuk hidup berdikari selepas bercerai. Malah, isteri merasakan adalah lebih baik baginya tidak mempunyai suami yang dianggap lebih membebankan.

Perceraian di kalangan selebriti dan artis terkenal mendapat liputan meluas seperti tidak ada apa-apa yang hendak dirasakan sesuatu mengaibkan. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi masyarakat seperti tidak kisah lagi tentang status duda dan janda jika terkena pada diri sendiri. 

Suami sebagai ketua keluarga mempunyai tanggungjawab lebih berat bagi memastikan kebahagiaan rumahtangga. Keistimewaan diberikan kepada lelaki sebenarnya adalah satu amanah bedasarkan kepada beberapa ciri kejadian lelaki dan tugas yang dilebihkan berbanding perempuan.

Sebagai pemimpin, suami bertanggungjawab mengawasi dan menentukan perjalanan hidup rumah tangga berjalan dengan sempurna. Kegagalan rumah tangga bermakna kegagalan suami, biarpun apa punca masalahnya.

Sebenarnya amalan bermusyawarah yang dilakukan bukan tanda kelemahan suami, sebaliknya tanda kematangan suami dalam pengurusan keluarga. Isteri akan lebih menghormati suami yang menunjukkan tanda hormat dan mengasihinya.

Sekiranya dalam musyawarah yang diadakan, punca masalah dalam keluarga datangnya daripada suami, maka mestilah suami bersedia mengakui kesalahan itu. Banyak berlaku suami tidak sanggup mengaku kesalahan yang telah dilakukan, sebaliknya menyalahkan isteri sengaja mencari kesalahan itu.

Usaha menyelesaikan masalah rumah tangga kadang kala memerlukan bimbingan kaunselor profesional yang bertindak sebagai moderator. Kaunselor tidak memihak atau mewakili mana-mana pihak. 

Penggunaan khidmat kaunselor bukan bermakna mendedahkan kelemahan dalam keluarga kepada pihak lain. Matlamat utama adalah mencari jalan penyelesaian yang mungkin tidak terfikir oleh pasangan berkenaan.

Selain itu, satu lagi kaedah menyelamatkan rumah tangga ialah menetapkan hakam atau jururunding dari kedua-dua pihak. 

Jika setelah segala usaha untuk mengekalkan hubungan rumahtangga dilakukan menemui jalan buntu, Islam membenarkan agar talak dijatuhkan. Ia dilakukan sebagai jalan terakhir demi untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

No comments:

Post a Comment